DUSSELDORF: Sebuah kapal kargo yang membawa van Mercedes-Benz terkandas di Pelabuhan Dusseldorf apabila paras air yang rendah menghalangnya daripada menuju ke Sungai Rhine, kata polis pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kapal berbendera Belanda itu terkandas di kawasan beting pasir ketika cuba meninggalkan lembangan pelabuhan sejak Isnin.
Menurut polis air, paras air ketika ini terlalu rendah untuk bot tunda menghampiri dan membebaskan kapal sepanjang 135 meter itu dengan selamat.
“Cubaan sedemikian sebaliknya berisiko menyebabkan kerosakan kepada kapal,” kata seorang jurucakap polis, sambil menjelaskan tiada banyak pilihan selain menunggu paras air meningkat.
Laluan perkapalan di Sungai Rhine dan pelabuhan tidak terjejas kerana kapal berkenaan hanya menghalang satu lembangan pelabuhan.
Kapal itu membawa van berwarna putih dari kilang Mercedes-Benz Sprinter di Dusseldorf dan dalam perjalanan ke Rotterdam. Tiada satu pun kenderaan berkenaan mengalami kerosakan, menurut Mercedes-Benz Vans.
Keadaan kering dan kekurangan hujan menyebabkan paras air Sungai Rhine jauh lebih rendah daripada biasa, memaksa kapal kargo mengurangkan muatan dan menyebabkan beberapa perkhidmatan feri menghentikan operasi.
Syarikat logistik Mosolf berkata usaha sedang dijalankan untuk membebaskan kapal itu menggunakan pendorong haluan, selepas itu sebahagian van mungkin diturunkan sebelum satu lagi percubaan dibuat untuk menuju ke Sungai Rhine lewat minggu ini.
-- BERNAMA-dpa