SIRIK: Sebuah kapal kargo kecil (barge) milik Iran dilapor terkena bedilan projektil tentera Amerika Syarikat (AS) di Teluk Oman awal pagi Khamis.
Menurut laporan agensi berita Mehr yang memetik kenyataan gabenor daerah Sirik, Reza Shahidian, kapal milik persendirian seberat 150 tan itu sedang membawa barangan keperluan dari pelabuhan Khasab, Oman ketika kejadian.
Menurut Reza, kapal berkenaan dibedil pada jarak kira-kira lima batu nautika dari pesisir pantai Khasab. Bagaimanapun, kesemua lima anak kapal terselamat selepas diselamatkan oleh kapal lain yang melalui kawasan tersebut sebelum dibawa ke Oman.
Dalam perkembangan berasingan, Kedutaan India di Oman menerusi hantaran di platform X memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai insiden maritim di luar pesisir pelabuhan Shinas.
Kenyataan itu menyebut pihak kedutaan sedang memantau rapat situasi serta berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Insiden ini berlaku di tengah peningkatan ketegangan geopolitik yang menjejaskan keselamatan laluan perdagangan di rantau Teluk.
Setakat ini, pihak tentera AS atau White House belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan serangan tersebut.