Ringkasan AI
- MDEC menyatakan Malaysia berpotensi menjadi hab perkhidmatan perniagaan global berteraskan AI jika syarikat merangka semula penawaran dan proses kerja mereka.
- Syarikat digesa membangunkan bakat tempatan, melabur dalam kemahiran AI, serta bekerjasama dengan kerajaan dan industri untuk menangani halangan pertumbuhan.
- Penggunaan AI membolehkan syarikat GBS beralih kepada analitik, automasi pintar, cerapan perniagaan dan pembuatan keputusan strategik untuk memberi nilai tambah lebih tinggi.
KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi untuk menjadi hab perkhidmatan perniagaan global (GBS) berteraskan kecerdasan buatan (AI) jika syarikat di negara ini merangka semula penawaran perkhidmatan masing-masing, kata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Bagi mencapai matlamat berkenaan, syarikat juga perlu membangunkan bakat tempatan serta bekerjasama dengan kerajaan bagi menangani halangan pertumbuhan.
Pengerusinya Ganesh Kumar Bangah berkata ejen AI berpotensi melaksanakan keseluruhan proses perniagaan dengan lebih meluas termasuk dalam bidang kewangan dan perakaunan, perolehan, sumber manusia serta perkhidmatan pelanggan.
“Generasi baharu syarikat GBS tidak semestinya terdiri daripada syarikat yang mempunyai tenaga kerja terbesar atau kos operasi terendah sebaliknya syarikat yang mampu memberi nilai tertinggi melalui penggunaan teknologi pintar akan menjadi peneraju,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau untuk menjadi syarikat yang berteraskan AI, syarikat perlu merangka semula proses kerja dengan menggabungkan AI ke dalam model operasi masing-masing sejak awal lagi.
Beliau menjelaskan, langkah ini akan membolehkan syarikat GBS beralih daripada sekadar memproses urus niaga kepada bidang seperti analitik, automasi pintar, cerapan perniagaan dan pembuatan keputusan strategik.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Azlan Sharom berkata agensi kerajaan perlu bekerjasama dengan persatuan industri bagi mengenal pasti halangan kepada pertumbuhan.
Beliau turut menggesa syarikat supaya meneroka potensi AI dalam membuat perubahan proses kerja masing-masing sekali gus membolehkan pekerja melaksanakan tugas yang memberi nilai tambah lebih tinggi selain melabur dalam pembangunan kemahiran yang diperlukan rakyat Malaysia untuk menerajui peralihan tersebut.
Pengerusi GBS Malaysia Datuk Raymond Davadass pula menyatakan fasa pertumbuhan seterusnya, industri itu sendiri perlu diukur berdasarkan cabaran perniagaan yang mampu ditanganinya.
“Strategi kita mesti tertumpu kepada usaha memberi nilai tambah yang lebih besar kepada pelanggan. AI boleh membantu kita menukarkan data kepada maklumat bernilai, mengunjurkan risiko dan menyelesaikan masalah perniagaan yang lebih kompleks.
“Setelah membina reputasi dalam kecemerlangan operasi, syarikat GBS perlu memanfaatkan data untuk mengunjurkan risiko, menghasilkan cerapan bernilai serta membantu pelanggan membuat keputusan yang lebih baik,” tambah beliau.
-- BERNAMA