Skip to main content

Malaysia

16 pemindahan organ berjaya dilaksana susulan empat pendermaan dalam tempoh lima hari

Pintu masuk HPUSM kembali diterangi cahaya hijau pada malam Khamis sebagai tanda penghormatan kepada seorang anak muda yang mendermakan organ kepada orang lain. - Foto Sinar Harian
Pintu masuk HPUSM kembali diterangi cahaya hijau pada malam Khamis sebagai tanda penghormatan kepada seorang anak muda yang mendermakan organ kepada orang lain. - Foto Sinar Harian
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 pemindahan organ berjaya dilaksanakan dalam tempoh lima hari di seluruh negara susulan empat pendermaan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata pencapaian bersejarah itu melibatkan pendermaan organ di Hospital Universiti Sains Malaysia, Hospital Melaka, Hospital Shah Alam dan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

Dzulkefly berkata pengorbanan penderma dan keluarga terlibat telah memberi peluang kehidupan kedua kepada pesakit memerlukan melalui lapan pemindahan buah pinggang masing-masing empat di Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur, tiga pemindahan hati, satu pemindahan jantung serta empat pemindahan kornea.

Advertisement

"Setinggi-tinggi penghormatan serta ucapan takziah saya titipkan buat para penderma dan keluarga. Keberanian kalian membuat keputusan paling mulia di saat berduka telah memberi peluang kehidupan kedua buat insan-insan lain yang memerlukan," katanya menerusi hantaran di laman X pada Rabu.

Dzulkefly menyeru pengikrar penderma organ agar memaklumkan hasrat murni mereka kepada ahli keluarga kerana kefahaman dan persetujuan waris adalah kunci utama bagi menyempurnakan amanah itu.

Advertisement

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja kesihatan di Pusat Transplan Nasional dan pasukan pemindahan organ di semua hospital terlibat termasuk pakar bedah, pasukan anestesiologi, penyelaras transplan, jururawat, ahli farmasi serta pasukan sokongan atas dedikasi mereka.

Kementerian Kesihatan, katanya, kekal komited untuk memperkukuh dan memperluas perkhidmatan pemindahan organ di seluruh negara menerusi penubuhan Majlis Transplan Kebangsaan yang mengadakan mesyuarat pertama pada 2 Nov lepas.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement