LONDON: Sebuah kapal tangki dilaporkan terkena objek tidak dikenal pasti ketika melalui Selat Hormuz, mengakibatkan kebakaran yang bagaimanapun berjaya dipadamkan, menurut agensi Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO).
Dalam makluman yang dikeluarkan awal Khamis, UKMTO memaklumkan insiden itu berlaku di laluan perkapalan strategik yang menghubungkan Teluk Parsi dengan pasaran global.
Menurut agensi berkenaan, kebakaran tercetus selepas kapal tangki itu terkena sejenis projektil yang masih belum dikenal pasti.
Bagaimanapun, semua anak kapal dilaporkan selamat dan telah dikenal pasti kedudukan mereka, tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
UKMTO turut memaklumkan bahawa tiada kesan pencemaran atau impak terhadap alam sekitar dikesan susulan insiden tersebut.
Pihak berkuasa maritim kini memantau keadaan dan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar serangan serta jenis projektil yang terlibat.
Insiden itu berlaku ketika ketegangan keselamatan di kawasan perairan Asia Barat kekal menjadi perhatian, khususnya di Selat Hormuz yang merupakan antara laluan penghantaran minyak paling penting di dunia.
Tiada pihak setakat ini mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian berkenaan.