LONDON: Ahli keluarga diraja Britain yang juga Duchess of Cambridge, Kate, pada Ahad menyempurnakan acara pelancaran buku fotografi potret yang diambil semasa perintah berkurung akibat COVID-19, yang dikatakannya sebagai sebuah rekod kekal untuk mengingati pandemik.

Kate, yang mengahwini Putera William, iaitu cucunda pewaris takhta Ratu Elizabeth, memulakan projek itu dengan National Portrait Gallery, London pada tahun lalu. Inisiatif itu mempelawa orang ramai untuk menghantar gambar yang diambil sepanjang tempoh perintah berkurung akibat ancaman virus korona di Britain.

Sebuah panel penilai termasuk Kate telah memilih 100 potret dariada lebih 31,000 penyertaan. Gambar-gambar yang terpilih itu telah dipertontonkan dalam bentuk digital dan juga di pameran komuniti sebelum penerbitan buku itu diumumkan.


"Menerusi buku Hold Still, saya mahu menggunakan kuasa fotografi untuk menghasilkan sebuah rekod kekal tentang perkara yang kita alami - untuk mendokumentasi cerita-cerita dan momen individu, keluarga dan komuniti sepanjang tempoh pandemik," ujar Kate dalam pengenalan buku itu.

Buku yang berjudul Hold Still: A Portrait of Our Nation in 2020, boleh didapatkan bermula 7 Mei, genap setahun selepas projek itu bermula. Semua keuntungan bersih akan dibahagikan antara National Portrait Gallery dan badan kebajikan kesihatan mental British, Mind.