Warga Paris pada petang Isnin dikejutkan dengan kejadian kebakaran di bangunan bersejarah yang wujud sejak Zaman Pertengahan, Katedral Notre Dame.

Punca insiden itu masih belum jelas, namun beberapa sumber rasmi memberitahu ia ada kaitan dengan kerja-kerja pemuliharaan bangunan yang sedang dijalankan di situ, lapor BBC.

Media sosial mula dibanjiri imej dan video yang menunjukkan asap berkepul naik ke udara dari bangunan dengan seni bina berciri Gothic berusia 850 tahun itu.

Pada tahun lalu, badan penjaga gereja Katolik di Perancis pernah melancarkan rayuan dana untuk menyelamatkan katedral tersebut yang banyak mengalami kerosakan.

Pihak berkuasa sedang giat menjalankan usaha untuk menangani kebakaran tersebut, sementara laluan di sekitar bangunan itu sudah ditutup dan dikawal.