Skip to main content

Dunia

Kazakhstan rancang bangunkan rangkaian satelit antarabangsa sehingga 14 satelit

Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan, Zhaslan Madiyev Kredit: X Zhaslan Madiyev
Berucap pada forum antarabangsa Space Days Kazakhstan, Madiyev mengetengahkan pembangunan keupayaan kejuruteraan angkasa lepas Kazakhstan, dengan sebuah kemudahan pemasangan dan pengujian kapal angkasa kini beroperasi di Astana. - Foto X Zhaslan Madiyev
Advertisement

ASTANA: Kazakhstan merancang membangunkan rangkaian satelit pemerhatian bumi antarabangsa yang terdiri daripada sembilan satelit menjelang 2030, dengan potensi diperluaskan kepada 14 satelit, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Digital dan Kecerdasan Buatan Zhaslan Madiyev, lapor Agensi Berita Qazinform.

Beliau berkata Kazakhstan telah mencapai persetujuan dengan tiga negara iaitu Mongolia, Republik Congo dan Nigeria untuk menyertai projek pemerhatian bumi berkenaan.

"Menjelang 2030, kami merancang mewujudkan rangkaian antarabangsa yang terdiri daripada sembilan satelit untuk pemerhatian bumi. Ia akan merangkumi enam satelit dari Kazakhstan serta satelit dari Mongolia, Republik Congo dan Nigeria.

"Kami terbuka untuk bekerjasama dengan rakan baharu dan melihat potensi untuk mengembangkan rangkaian itu kepada 14 satelit," kata Madiyev ketika berucap pada forum antarabangsa Space Days Kazakhstan.

Sementara itu, Kazakhstan sedang membangunkan satelit komunikasi baharu bagi menggantikan KazSat-3, yang dikenali sebagai KazSat-3R, bagi memastikan sistem komunikasi satelit nasional negara itu terus beroperasi dengan stabil dan memenuhi keperluan teknologi moden.

Madiyev turut mengetengahkan pembangunan keupayaan kejuruteraan angkasa lepas Kazakhstan, dengan sebuah kemudahan pemasangan dan pengujian kapal angkasa kini beroperasi di Astana.

Kemudahan itu membolehkan Kazakhstan memasang satelit, menjalankan ujian penting, memperkukuh keupayaan kejuruteraan dalam negara serta menyertai projek pembuatan antarabangsa.

Qazinform sebelum ini melaporkan Kazakhstan memperuntukkan lebih US$10 bilion untuk satelit komunikasi KazSat-3R yang baharu.

 -- BERNAMA-QAZINFORM

Must Watch Video

Advertisement