MOSCOW: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Rusia meningkat lebih daripada 10 peratus dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini sahaja, dengan sektor pembuatan menjadi sumber utama pertumbuhan, kata Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Rusia, Dmitry Medvedev pada Selasa, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Dalam tempoh tiga tahun lepas sahaja, keluaran kasar negara kita telah meningkat lebih daripada 10 peratus dan mencecah hampir 215 trilion rubel [US$3,002 bilion]. Malah, sumber utama pertumbuhan -- yang juga merupakan hasil sinergi -- bukanlah sektor bahan mentah, sebaliknya industri pembuatan, terutamanya kejuruteraan mekanikal," kata Medvedev pada sidang pleno penutup Parti United Russia.
Rusia telah membuktikan kepada seluruh dunia bahawa ia mampu menangani cabaran yang paling sukar dan tahu bagaimana untuk menghadapi tekanan, kata Medvedev.
"Keputusan seumpama ini berjaya dicapai terutamanya disebabkan oleh daya tahan ekonomi domestik kita. Perkara ini tidak boleh dinafikan atau disembunyikan iaitu pembangunannya yang stabil walaupun dalam situasi operasi ketenteraan," kata Medvedev.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI