Skip to main content

Dunia

Kebakaran di lapangan terbang Cape Town lumpuhkan penerbangan, paksa pemindahan

Passengers wait at the terminal of Cape Town International Airport, as operations are suspended due to a power outage following a fire at the airport, in Cape Town, South Africa, February 24, 2026. REUTERS/Esa Alexander
Penumpang menunggu di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Cape Town susulan operasi digantung akibat kebakaran yang berlaku, Cape Town, Afrika Selatan, 24 Feb 2026. REUTERS

CAPE TOWN: Kebakaran di Cape Town International Airport pada Selasa menghentikan penerbangan antarabangsa dan mencetuskan pemindahan sebagai langkah berjaga-jaga melibatkan penumpang serta kakitangan, menurut pihak berkuasa, lapor Agensi Berita Xinhua.

Kebakaran berlaku di bahagian luar lapangan terbang dan mengganggu beberapa perkhidmatan termasuk sebahagian rangkaian teknologi maklumat (IT).

Advertisement

Pihak berkuasa memaklumkan api berjaya dikawal kemudian, namun insiden itu memaksa penumpang dan kakitangan di kawasan terjejas dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

"Lapangan terbang mengesahkan yang satu kebakaran berlaku di bahagian luar lapangan terbang," menurut Airports Company South Africa (ACSA) dalam satu kenyataan. "Kebakaran berjaya dipadamkan dan semua penumpang, kakitangan serta pelawat berada dalam keadaan selamat. Keselamatan penumpang kekal keutamaan kami."

"Kami memahami yang insiden ini mungkin menimbulkan kebimbangan dan kami menggesa semua penumpang serta pelawat agar mematuhi arahan keselamatan dan menuju ke lokasi selamat yang ditetapkan seperti diarahkan oleh kakitangan lapangan terbang," menurut kenyataan itu lagi.

Menurut ACSA, insiden tersebut menjejaskan beberapa perkhidmatan IT. "Sebagai langkah berjaga-jaga, pelepasan penerbangan antarabangsa digantung sementara dan penerbangan antarabangsa yang masuk dilencongkan. Penerbangan antarabangsa yang mendarat sedang diproses."

Pihak berkuasa lapangan terbang turut menasihatkan penumpang domestik agar menyemak terus dengan syarikat penerbangan masing-masing dan aplikasi mudah alih syarikat bagi mendapatkan maklumat terkini penerbangan.

"Maklumat lanjut akan dikongsikan dari semasa ke semasa. Kami mengucapkan terima kasih atas kesabaran dan kerjasama penumpang serta pihak berkepentingan," menurut ACSA.

-- BERNAMA

Must Watch Video