Skip to main content

Dunia

Kebakaran hutan hampiri Bordeaux, lebih 220,000 penduduk dipindahkan di Perancis

Firefighters tackle a blaze as wildfires rage near Le Las, outside Bordeaux, France, Monday, July 27, 2026. (AP Photo/Emma Da Silva)
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran hutan yang sedang marak berhampiran Le Las, di pinggir bandar Bordeaux, Perancis. - Foto AP
Advertisement

BORDEAUX: Kebakaran hutan besar yang sedang melanda barat daya Perancis kini berada hanya kira-kira 15 kilometer dari bandar Bordeaux, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk dan kemungkinan pemindahan berskala lebih besar.

Datuk Bandar Bordeaux, Thomas Cazenave, berkata pihak berkuasa sedang bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya keadaan bertambah buruk.

"Kami sedang membuat persiapan untuk menempatkan sejumlah besar penduduk sekiranya pemindahan tambahan diarahkan," katanya.

Kebakaran di wilayah Gironde disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai situasi yang "belum pernah berlaku sebelum ini", dengan api merebak secara agresif akibat cuaca panas melampau dan keadaan kering yang berpanjangan.

Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez, berkata pasukan bomba berdepan cabaran besar untuk mengawal kebakaran yang dianggap "seolah-olah mempunyai kehidupan sendiri" kerana perubahan arah angin dan suhu tinggi yang menyukarkan operasi pemadaman.

Sehingga kini, kira-kira 220,000 penduduk telah dipindahkan di seluruh Perancis akibat kebakaran hutan yang semakin merebak.

Datuk Bandar Cestas, Jerome Steffe, menyifatkan kebakaran yang melanda kawasan itu sebagai antara yang paling dahsyat pernah berlaku di rantau berkenaan, dengan puluhan ribu penduduk terpaksa dipindahkan dan ribuan hektar hutan musnah dijilat api.

Beliau berkata sekitar 17,000 penduduk terpaksa dipindahkan dari bandar tersebut pada waktu malam apabila kebakaran meningkat dengan mendadak dua hari lalu.

Menurutnya, setakat ini lebih 42,000 hektar kawasan tanah telah musnah, manakala 240 buah rumah turut terbakar.

"Keadaan di bandar saya benar-benar bencana," katanya.

Walaupun kadar penyebaran api kini semakin perlahan, Steffe menegaskan bahawa ancaman masih belum berakhir.

"Kami hanya memenangi satu pertempuran kecil. Risiko masih wujud akibat bara api yang diterbangkan angin atau perubahan arah angin secara tiba-tiba," katanya.

Beliau berkata pasukan penyelamat sedang bertungkus-lumus membina zon penampan atau firebreaks bagi menghalang kebakaran daripada terus merebak, namun mengakui semua pihak masih berasa bimbang dengan perkembangan semasa.

Sementara itu, Perdana Menteri Perancis, Sébastien Lecornu, memberi amaran negara itu sedang melalui musim kebakaran yang luar biasa.

Dalam kenyataan di platform X, beliau memaklumkan bahawa sejak Januari lalu, lebih 116,000 hektar kawasan telah terbakar, manakala 13,566 insiden kebakaran direkodkan di seluruh negara.

Beliau turut mendedahkan bahawa sembilan daripada 10 kebakaran berpunca daripada aktiviti manusia, kebanyakannya akibat kecuaian seperti puntung rokok, penggunaan barbeku dan kerja-kerja yang dilakukan tanpa langkah keselamatan yang mencukupi.

Namun, menurutnya, sebahagian kebakaran juga dipercayai sengaja dicetuskan, dengan 162 tangkapan dibuat sejak 6 Julai lalu.

Presiden Emmanuel Macron turut melawat beberapa kawasan yang terjejas di Gironde bagi memberi sokongan kepada anggota bomba serta petugas kecemasan yang sedang bertungkus-lumus mengawal kebakaran.

Selain Gironde, kebakaran hutan turut dilaporkan di beberapa wilayah lain termasuk Var, Landes dan Haute-Corse di pulau Corsica.

Di negara jiran Sepanyol, keadaan turut membimbangkan apabila kebakaran besar di barat Madrid memasuki hari kelima darurat kebangsaan.

Lebih 100,000 penduduk telah dipindahkan, manakala lebih 27,000 hektar kawasan terjejas selepas beberapa kebakaran bergabung menjadi satu kebakaran besar.

Pihak berkuasa tempatan memberi amaran rantau berkenaan mungkin berdepan "kebakaran terburuk dalam sejarahnya".

Pakar iklim pula menyatakan perubahan iklim terus meningkatkan suhu global, dengan Eropah kini merupakan benua yang mengalami pemanasan paling pantas, kira-kira dua kali ganda lebih cepat berbanding purata global.

Keadaan itu menyebabkan gelombang haba yang lebih ekstrem, tekanan terhadap sumber air dan peningkatan risiko kebakaran hutan yang semakin sukar dikawal.

 

 

Must Watch Video

Advertisement