Skip to main content

Dunia

Kebakaran hutan "terbesar" Sepanyol, paksa pemindahan besar-besaran penduduk

Moises, evacuated from the village of Asin, awaits with his dog Thor, at a municipal sports center turned into a temporary shelter in the town of Ejea de los Caballeros during efforts to battle wildfires affecting the Zaragoza province, Spain, July 17, 2026. REUTERS
Kebakaran hutan terbesar di Sepanyol setakat tahun ini memusnahkan kira-kira 12,000 hektar kawasan di wilayah Zaragoza, timur laut negara itu, sekali gus memaksa lebih 1,100 penduduk dipindahkan ketika anggota bomba terus giat memadamkan kebakaran. - Foto REUTERS/Violeta Santos Moura
Advertisement

ISTANBUL: Kebakaran hutan terbesar di Sepanyol setakat tahun ini memusnahkan kira-kira 12,000 hektar kawasan di wilayah Zaragoza, timur laut negara itu, sekali gus memaksa lebih 1,100 penduduk dipindahkan ketika anggota bomba terus giat memadamkan kebakaran, lapor Anadolu Ajansi yang memetik penyiar awam Sepanyol, RTVE, pada Jumaat.

Pihak berkuasa memaklumkan kebakaran yang bermula pada Rabu di wilayah Cinco Villas itu masih "sangat aktif", dengan api merebak secara "ketara" sepanjang malam hingga Jumaat.

Kebakaran itu memaksa pemindahan penduduk dari lima perbandaran di Zaragoza serta satu lagi di wilayah jiran, Navarre.

Api kini merebak dalam lingkungan perimeter kira-kira 60 kilometer manakala beberapa jalan utama masih ditutup.

Bekalan elektrik bagaimanapun dipulihkan di semua kawasan yang terjejas.

Kira-kira 400 anggota di darat dan 19 pesawat dikerahkan bagi memadamkan kebakaran pada Khamis, dengan anggota bomba memberi tumpuan sepanjang malam untuk melindungi kediaman penduduk di Uncastillo.

Sementara itu, satu lagi kebakaran hutan di La Mierla, wilayah Guadalajara di utara Sepanyol, juga masih aktif selepas memusnahkan kira-kira 900 hektar kawasan, sekali gus mencetuskan pemindahan penduduk dan perintah berkurung di beberapa komuniti berhampiran.

Kerajaan wilayah berkenaan memohon bantuan Unit Kecemasan Tentera Sepanyol, yang menghantar kira-kira 100 anggota bagi membantu operasi pemadaman.

Kebakaran ketiga melibatkan kawasan berhampiran Lozoyuela, di utara Madrid, menunjukkan perkembangan yang lebih baik, namun masih belum dapat dikawal sepenuhnya atau dipadamkan sepenuhnya, menurut perkhidmatan kecemasan.

Kebakaran itu memusnahkan hampir 70 hektar kawasan.

Pihak berkuasa memaklumkan beberapa bahagian wilayah Cinco Villas masih dikenakan perintah berkurung manakala dua jalan di kawasan itu terus ditutup.

Pasukan Pengawal Awam memberkas seorang lelaki yang disyaki menjadi punca kebakaran di wilayah Madrid dan kerajaan wilayah itu memaklumkan akan menyertai prosiding undang-undang sebagai pihak yang menuntut ganti rugi.

Suhu tinggi, angin kencang, kelembapan udara yang rendah serta tumbuhan yang rimbun susulan musim bunga yang lembap dilaporkan memarakkan lagi kebakaran.

Pakar turut mengaitkan perubahan iklim serta pengabaian kawasan luar bandar merupakan antara faktor yang meningkatkan risiko kebakaran hutan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement