Skip to main content
Advertisement

Politik

PH Plus: PH kekal sokongan pelbagai kaum, Bersatu perluas pengundi Melayu - Penganalisis

PAKATAN HARAPAN & BERSATU
Dr. Mashitah berkata, ketika PRU14, PH yang ketika itu terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan selepas memenangi majoriti kerusi Parlimen. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seperti yang pernah berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kemungkinan Bersatu kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) membuka semula perbincangan mengenai formula politik yang pernah membawa gabungan tersebut ke Putrajaya pada 2018.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM MAPAN), Dr. Mashitah Mohd. Udin berkata, ketika PRU14, PH yang ketika itu terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan selepas memenangi majoriti kerusi Parlimen.

Jelasnya, Bersatu sendiri memenangi 13 kerusi Parlimen, manakala analisis pasca-PRU14 menunjukkan PH memperoleh kira-kira 30 peratus sokongan Melayu secara keseluruhan, selain mendapat sokongan bukan Melayu yang tinggi.

Justeru, nilai Bersatu kepada PH tidak semestinya harus diukur berdasarkan jumlah kerusi yang boleh dimenanginya secara bersendirian.

"Memang benar bahawa prestasi pilihan raya Bersatu kebelakangan ini tidak begitu memberangsangkan, khususnya di Johor dan Negeri Sembilan.

"Namun keputusan seperti itu tidak semestinya bermakna Bersatu langsung tidak mempunyai nilai strategik dalam sesuatu gabungan.

"Walaupun kekuatan organisasinya berbeza mengikut negeri, Bersatu masih membawa identiti politik Melayu yang jelas, rangkaian kepimpinan nasional serta jenama yang sudah dikenali pengundi Melayu sejak penubuhannya dan penglibatannya dalam beberapa pilihan raya umum serta negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mashitah, dalam konteks kerjasama dengan PH, fungsi Bersatu mungkin bukan untuk menggantikan kekuatan PKR, Amanah atau DAP, tetapi berpotensi melengkapkan profil gabungan tersebut di kawasan yang mempunyai komposisi pengundi Melayu lebih tinggi.

Katanya, pengalaman PRU14 memberikan sedikit asas kepada hujah ini yang mana menjelang pilihan raya berkenaan, Merdeka Center menganggarkan sokongan Melayu kepada PH meningkat daripada sekitar 20 peratus kepada 27.8 peratus dalam tempoh beberapa minggu terakhir kempen.

Ujarnya lagi, selepas pilihan raya, analisis turut menunjukkan Bersatu dan Amanah menyumbang kepada perubahan undi Melayu di beberapa kawasan, walaupun tahap sokongan berbeza mengikut negeri.

"Maka, sekiranya formula 'PH Plus Bersatu' benar-benar terbentuk, logik politiknya ialah PH dapat mengekalkan asas sokongan pelbagai kaumnya sambil cuba memperluaskan semula daya tarikan kepada pengundi Melayu melalui Bersatu.

"Namun ia tidak bermakna pola PRU14 boleh diulang secara automatik. Landskap politik 2026 jauh berbeza daripada 2018. Pengundi sudah melalui beberapa perubahan kerajaan, pembentukan gabungan baharu dan penjajaran semula parti," tegasnya.

Pada masa sama, katanya, kerjasama PH–Bersatu juga boleh memberi kesan terhadap pertandingan di kawasan Melayu sekiranya lawannya gagal menyelesaikan soal pembahagian kerusi dan berlaku pertandingan tiga atau empat penjuru.

Jelasnya, pengalaman pilihan raya Malaysia menunjukkan bahawa perpecahan undi antara beberapa parti yang memburu kelompok pengundi sama boleh mengubah keputusan kerusi walaupun sesebuah parti tidak memperoleh majoriti mutlak undi.

Dalam PRU14, misalnya, analisis mendapati banyak kemenangan berlaku dalam pertandingan berbilang penjuru dengan undi tersebar antara BN, Pas dan PH.

"Sekiranya ia menjadi kenyataan, formula PH Plus Bersatu akan menarik perhatian kerana ia pada asasnya cuba menggabungkan dua kelebihan berbeza, iaitu asas sokongan pelbagai kaum PH dengan kemampuan Bersatu untuk berkomunikasi dalam ruang politik Melayu.

"Sebaliknya, keberkesanannya bergantung kepada sejauh mana penyokong setiap parti bersedia memindahkan undi kepada calon rakan gabungan. Dalam politik gabungan, sokongan parti tidak semestinya berpindah secara automatik hanya kerana pemimpin mencapai persetujuan," katanya.

Jelas Dr. Mashitah, satu lagi faktor ialah kepimpinan. PH mempunyai titik rujukan yang jelas kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Pengerusi PH dan Perdana Menteri.

Dalam sebuah pilihan raya nasional, kejelasan mengenai kepimpinan dan tawaran kerajaan boleh menjadi salah satu unsur yang dinilai pengundi, selain soal calon, ekonomi, kos sara hidup dan prestasi pentadbiran.

"Sebab itu, kemungkinan kembalinya Bersatu bersama PH lebih tepat dilihat bukan sebagai jaminan mengulangi kemenangan PRU14, tetapi sebagai usaha membina semula formula gabungan yang pernah menggabungkan sebahagian undi Melayu dengan sokongan kukuh masyarakat bukan Melayu," katanya.

Must Watch Video

Advertisement