JAKARTA: Kebakaran hutan dan tanah memusnahkan hampir 660 hektar kawasan di dua taman negara di Indonesia, dengan operasi pemadaman memasuki hari keempat pada Jumaat, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).
Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB Berton Panjaitan berkata kira-kira 600 hektar terjejas di Taman Negara Way Kambas di Lampung Timur, Sumatera dan 59.5 hektar di Taman Negara Gunung Merapi di Magelang, Jawa Tengah sejak kebakaran tercetus pada Selasa.
Di Way Kambas, beliau berkata usaha pemadaman diteruskan pada Khamis namun terjejas akibat kesukaran akses, bekalan air yang terhad serta jarak yang jauh antara lokasi kebakaran dengan sumber air.
“Aktiviti pembakaran tanpa pengawasan boleh merebak dengan pantas apabila tumbuh-tumbuhan kering, khususnya apabila disertai angin kencang,” kata Berton dalam kenyataan pada Jumaat.
Di Taman Negara Gunung Merapi, kebakaran memusnahkan kawasan rumput dan pokok pain, dengan pemantauan dron menunjukkan kira-kira 59.5 hektar hutan terjejas antara 22 hingga 24 Sept.
Berton berkata sebahagian besar kebakaran berjaya dipadamkan menjelang malam Khamis, namun pasukan gabungan terus menjalankan pemantauan dan rondaan kerana bara api masih terdapat di beberapa lokasi.
Kedua-dua taman negara itu turut menjadi destinasi pelancongan alam semula jadi. Way Kambas terkenal dengan usaha pemuliharaan gajah Sumatera dan hidupan liar terancam lain, manakala Gunung Merapi, antara gunung berapi paling aktif di Indonesia, menarik pengunjung dengan landskap gunung berapi serta aktiviti luar.
Di lokasi lain, kebakaran menjejaskan kira-kira 280 hektar kawasan berhampiran kaki Gunung Klabat di Minahasa Utara, Sulawesi Utara dan kira-kira 127 hektar di Lombok Utara, Nusa Tenggara Barat, dengan operasi pemadaman masih diteruskan.
-- BERNAMA