PEJABAT baharu kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Baitulmaqdis akan dibuka pada Mei tahun ini selari dengan sambutan ulang tahun ke 70 kemerdekaan Israel.

Pengumuman yang dibuat dalam kenyataan pada Jumaat menyaksikan tarikh pembukaan kedutaan di Baitulmaqdis dipercepatkan daripada tarikh jangkaan sebelum ini.

Malah, AS menganggap pembukaan itu sebagai satu lagi sejarah baharu.

Naib Presiden AS, Mike Pence sebelum ini berkata, pejabat kedutaan yang menimbulkan kontroversi itu akan dibuka pada tahun 2019.

Israel mengisytiharkan kemerdekaan mereka pada 14 Mei 1948.

Menurut Al Jazeera, ia masih lagi tidak jelas lokasi sebenar pejabat kedutaan itu.

"Duta AS di Israel, David Friedman dan beberapa pembantu akan mengendalikan kerja-kerja seperti biasa di bangunan awam konsulat di Arnona berhampiran Baitulmaqdis.

"Manakala beberapa kakitangan akan dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis dari semasa ke semasa tetapi masih mencari lokasi sesuai untuk membina pejabat kedutaan rasmi," katanya.