Skip to main content

Dunia

Keganasan penjajah Israel terhadap penduduk Palestin tidak boleh ditoleransi - Pejabat PBB

[TB]_Palestinians shelter tent camp Gaza City_REUTERS
Pejabat itu menyatakan bahawa Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah mengesahkan bahawa semua jajahan Israel adalah haram dan bahawa Israel mesti menghentikan semua aktiviti penjajahan. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

RAMALLAH: Serangan dan penderaan penjajah Israel terhadap rakyat Palestin telah mencapai tahap yang tidak boleh ditoleransi, menurut Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Wilayah Palestin yang Diduduki pada Khamis, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Pejabat itu menggesa pihak berkuasa Israel agar menyingkirkan penjajah yang menggunakan kekerasan terhadap ribuan rakyat Palestin, merampas tanah penduduk Palestin secara tidak sah dan meluaskan tanah jajahan Israel.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, pejabat itu berkata penubuhan pos kolonial Israel berhampiran Qusra, selatan Nablus, pada November 2025 telah disusuli dengan penjajah menguasai kawasan di barat kampung itu serta peningkatan serangan terhadap rakyat Palestin.

Ini termasuk pencerobohan rumah, serangan fizikal, vandalisme, kecurian dan pembakaran, termasuk serangan ke atas masjid tempatan.

Menurut pejabat itu, satu daripada kes keganasan penjajah yang paling serius berlaku pada Julai lepas, apabila penjajah dari sebuah pos di kawasan Ras al-Ain di Qusra memutuskan bekalan air dan elektrik ke tiga rumah Palestin berdekatan.

Pada 9 Ogos, penjajah menutup semua pagar dan pintu masuk yang menuju ke rumah, mendirikan khemah di antara mereka dan menghalang penduduk daripada memasuki atau meninggalkan kawasan itu.

Hal ini mengakibatkan tiga keluarga Palestin, terdiri daripada kira-kira 15 orang, termasuk sekurang-kurangnya dua kanak-kanak, terkurung di dalam rumah mereka kerana ketakutan dan tidak dapat memenuhi keperluan asas atau mendapatkan bekalan air dan elektrik.

Menurut pejabat itu, keluarga terbabit meminta tentera Israel yang berada di lapangan supaya campur tangan namun pasukan berkenaan gagal bertindak balas.

Tentera Israel juga kelihatan menghalang paramedik, aktivis perpaduan dan wartawan daripada mendekati keluarga tersebut.

Pada 12 Ogos, tentera mengalihkan khemah penjajah tetapi tidak mengalihkan penjajah itu sendiri, yang terus mengepung ketiga-tiga rumah terlibat pada Khamis.

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB menegaskan perbuatan jenayah yang dilakukan oleh penjajah, dengan sokongan atau persetujuan tersirat Israel sebagai kuasa pendudukan, telah menyebabkan penderitaan kepada keluarga Palestin berkenaan dan jelas bertujuan memaksa mereka supaya meninggalkan rumah dan tanah mereka.

Ia memberikan amaran bahawa masa semakin suntuk untuk tiga keluarga itu yang dihimpit risiko pemindahan secara paksa.

Pejabat itu menyatakan bahawa Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah mengesahkan bahawa semua jajahan Israel adalah haram dan bahawa Israel mesti menghentikan semua aktiviti penjajahan, mengeluarkan semua penjajah termasuk mereka yang melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin di Qusra dan Jalud, serta menamatkan kehadiran mereka yang menyalahi undang-undang itu di Tebing Barat.

Ia menegaskan, dalam pada itu, Israel perlu mematuhi kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa untuk memastikan keselamatan penduduk Palestin.

Ini termasuk mencegah dan menyiasat serangan oleh penjajah yang hadir secara menyalahi undang-undang di Tebing Barat dan memastikan akauntabiliti bagi semua pihak yang bertanggungjawab melakukan, menyokong atau bertolak ansur dengan serangan sedemikian, termasuk mengenakan hukuman yang setimpal dengan pelanggaran yang dilakukan.

-- BERNAMA-WAFA

Must Watch Video

Advertisement