CAPE TOWN: Kerajaan Ghana membawa pulang 216 rakyatnya dari Afrika Selatan dalam tempoh tiga hari lepas susulan keganasan terhadap pendatang tanpa izin, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Kementerian Luar Ghana pada Selasa berkata ratusan lagi rakyat negara itu yang menetap di Afrika Selatan telah mendaftar untuk pulang.
Kerajaan di Accra sebelum ini membawa pulang hampir 1,000 rakyatnya dari Afrika Selatan menerusi penerbangan pada Mei dan Jun.
Permohonan untuk pulang meningkat susulan serangan ganas yang berlarutan sejak beberapa bulan terhadap mereka yang disyaki sebagai pendatang tanpa izin termasuk rakyat Ghana, Nigeria, Zimbabwe, Mozambique dan Malawi.
Pihak berkuasa Afrika Selatan berkata lebih 25,000 warga asing telah meninggalkan negara itu atau dihantar pulang baru-baru ini.
Kesatuan Afrika (AU) pula mengumumkan akan menuntut penjelasan rasmi daripada Afrika Selatan berhubung rusuhan berkenaan.
Kerajaan Nigeria berkata pihaknya mula merekodkan kerugian harta benda yang dialami rakyatnya di Afrika Selatan bagi tujuan tuntutan pampasan.
Banyak kediaman dan premis perniagaan milik warga Afrika dirampas dan digeledah ketika kekacauan itu.
Bantahan terhadap pendatang tanpa izin dianjurkan oleh gerakan masyarakat sivil "March and March", yang menggunakan retorik radikal untuk mendesak penguatkuasaan undang-undang imigresen yang lebih ketat serta penghantaran pulang secara besar-besaran.
Gerakan itu mendakwa bahawa warga asing yang tinggal secara haram di Afrika Selatan menyumbang kepada peningkatan jenayah dan pengangguran.
Presiden Cyril Ramaphosa berulang kali mengecam serangan itu serta menegaskan bahawa pendatang tanpa izin tidak boleh dipersalahkan atas masalah sosioekonomi Afrika Selatan.
-- BERNAMA-dpa