LOS ANGELES: Nilai kekayaan bersih Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX, Elon Musk, dijangka melonjak melepasi paras AS$1 trilion (kira-kira RM4.03 trilion), sekali gus membuka laluan kepada beliau menjadi trilionwan pertama di dunia.
Unjuran itu berpandukan kepada potensi pelaksanaan pelan tawaran awam permulaan (IPO) bagi syarikat aeroangkasa miliknya, SpaceX, yang dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.
Langkah penyenaraian awam itu berpotensi mengukuhkan kedudukan beliau di tangga teratas senarai individu paling kaya di dunia, sekali gus melebarkan jurang kekayaan dengan individu kedua terkaya, pengasas bersama Google Larry Page, yang dianggarkan memiliki aset bernilai sekitar AS$309 bilion (kira-kira RM1.24 trilion).
Menurut laporan penilaian pasaran modal hari ini, nilai kekayaan atas kertas Musk dianggarkan mencecah kira-kira AS$835 bilion (kira-kira RM3.36 trilion), didorong oleh prestasi saham syarikat pengeluar kenderaan elektrik, Tesla Inc, serta nilai pegangan ekuiti dalam SpaceX.
Meskipun mencatatkan unjuran permodalan pasaran yang tinggi, beberapa firma penganalisis kewangan berkata jumlah perolehan tahunan yang dijana oleh Tesla dan SpaceX masih lebih rendah berbanding syarikat teknologi utama lain.
Sebagai perbandingan bagi tahun fiskal 2025, Tesla menjana pendapatan sekitar AS$95 bilion manakala SpaceX merekodkan kira-kira AS$18.67 bilion.
Angka itu masih jauh lebih rendah berbanding syarikat induk Google, Alphabet Inc., yang mencatatkan perolehan melebihi AS$400 bilion bagi tempoh sama.
Bagaimanapun, status trilionwan Musk kekal bergantung kepada faktor pasaran termasuk kestabilan harga saham, penilaian IPO SpaceX serta sentimen pelabur global menjelang pelaksanaan penyenaraian itu.