Skip to main content

Dunia

Keluar dari bayang-bayang AS: Kanada buru pelaburan C$1 trilion - PM

Sumber: REUTERS
Menurut Carney, Kanada mahu menjadikan negara itu destinasi pelaburan paling menarik dalam kalangan negara G7. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

TORONTO: Perdana Menteri Kanada, Mark Carney menyifatkan negaranya sebagai "pelabuhan selamat" bagi pelabur global ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi yang semakin meningkat.

Berucap kepada lebih 100 pelabur utama dunia yang menghadiri sidang pelaburan di Toronto pada Selasa, Carney berkata, Kanada berada pada kedudukan terbaik untuk berkembang dalam landskap ekonomi global yang semakin berubah.

Beliau turut mengulangi sasaran kerajaan untuk menarik pelaburan bernilai C$1 trilion dalam tempoh lima tahun akan datang, sebagai sebahagian usaha mengurangkan kebergantungan ekonomi negara itu terhadap Amerika Syarikat (AS).

“Kami mahu menjadikan Kanada destinasi pelaburan paling menarik dalam kalangan negara G7,” kata Carney.

Sidang berkenaan menghimpunkan kumpulan pelabur yang bersama-sama mengurus aset melebihi C$120 trilion dan kerajaan berharap mereka akan melabur dalam sektor strategik seperti pertahanan, tenaga, perlombongan, kecerdasan buatan (AI) serta infrastruktur.

Lebih 160 projek ditawarkan kepada pelabur, termasuk pembangunan lombong, pusat data dan saluran paip.

Usaha menarik pelaburan asing itu dilihat semakin penting ketika hubungan perdagangan Kanada dan AS terus tegang susulan pertikaian tarif yang berlarutan.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Ottawa giat memperkukuh hubungan ekonomi dengan Eropah, Asia dan Asia Barat bagi mempelbagaikan rakan dagang serta mengurangkan risiko pergantungan kepada pasaran AS.

Sebagai sebahagian daripada strategi itu, Carney mengumumkan rancangan untuk membuka operasi empat lapangan terbang terbesar Kanada kepada pelaburan swasta.

Menurut beliau, langkah itu dijangka menjana berbilion dolar yang boleh digunakan semula bagi meningkatkan infrastruktur pengangkutan negara.

Kerajaan persekutuan akan terus mengekalkan pemilikan tanah dan aset utama lapangan terbang, namun pelabur swasta akan dibenarkan mengambil bahagian dalam aspek operasi.

Cadangan tersebut bagaimanapun mendapat kritikan daripada kesatuan sekerja yang mendakwa ia boleh memberi kesan negatif kepada pekerja serta pengguna.

Sidang pelaburan itu turut menampilkan beberapa tokoh korporat terkemuka dunia, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Deutsche Bank, Christian Sewing; Ketua Pegawai Eksekutif BlackRock, Larry Fink; Presiden Blackstone, Jon Gray; serta eksekutif Bombardier, Eric Martel.

Walaupun pejabat Perdana Menteri tidak menjangkakan pengumuman besar akan dibuat sepanjang sidang itu, acara tersebut dilihat sebagai peluang penting untuk meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Kanada selepas bertahun-tahun berdepan prestasi pelaburan yang perlahan dan proses kelulusan projek utama yang sering dikritik kerana mengambil masa terlalu lama.

Carney sendiri mengakui cabaran tersebut ketika berucap kepada peserta.

“Masa boleh menggagalkan setiap urusan pelaburan,” katanya.

Penganalisis ekonomi berpandangan, Kanada perlu melaksanakan pembaharuan dasar yang lebih menyeluruh, termasuk menawarkan sistem percukaian dan kawal selia yang lebih kompetitif serta memastikan bekalan tenaga kerja mahir mencukupi bagi menarik lebih banyak pelaburan asing.

Dalam perkembangan berkaitan, rundingan perdagangan antara Ottawa dan Washington dilaporkan gagal mencapai kata sepakat bulan lalu, menyebabkan kedua-dua negara mengenakan tarif balas terhadap pelbagai produk masing-masing.

Pada Selasa, tarif baharu AS terhadap beberapa barangan Kanada mula berkuat kuasa, manakala sekatan terhadap produk tertentu seperti alkohol dan motosikal dijangka dilaksanakan minggu depan.

Carney bagaimanapun menegaskan, hubungan Kanada dan AS akan terus kekal penting meskipun wujud perbezaan pendapat dalam beberapa isu ekonomi dan perdagangan.

“Kami akan sentiasa menjadi jiran dan Kanada akan terus menjadi rakan paling penting kepada AS dalam pelbagai bidang utama,” katanya.

Pada masa sama, tindakan kerajaan menarik pelabur asing turut menerima bantahan daripada kumpulan aktivis yang mendakwa Ottawa sedang menjual aset dan sumber awam kepada kepentingan korporat.

Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di luar majlis pembukaan sidang berkenaan pada Isnin, dengan sesetengah pihak mendakwa sebahagian besar pelabur yang dijemput terdiri daripada syarikat dan individu dari AS.

 

 

Must Watch Video

Advertisement