LUSAKA: Keluarga bekas Presiden Zambia, Edgar Lungu, memenangi rayuan undang-undang terbaru apabila mahkamah memutuskan beliau akan dikebumikan di Afrika Selatan, sekali gus membatalkan keputusan sebelum ini yang membenarkan kerajaan Zambia membawa pulang jasadnya.
Keputusan Mahkamah Rayuan pada Selasa menamatkan pertikaian berpanjangan antara keluarga Lungu dan kerajaan Zambia berhubung lokasi pengebumian beliau, lebih setahun selepas kematiannya di Pretoria.
Kerajaan Zambia sebelum ini menegaskan bahawa Lungu, sebagai bekas ketua negara, wajar diberi penghormatan dengan pengebumian negara di tanah air, khususnya di kawasan perkuburan khas presiden di ibu negara, Lusaka.
Namun, keluarga Lungu berpendirian mahu pengebumian secara tertutup selepas rundingan dengan kerajaan gagal mencapai persetujuan mengenai pengurusan upacara tersebut.
Dalam penghakiman, hakim menyatakan pertikaian itu telah mencetuskan konflik antara keluarga dan negara, walaupun tujuan asalnya adalah untuk memberi penghormatan terakhir kepada pemimpin berkenaan.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Afrika Selatan pada Ogos lalu memutuskan kerajaan Zambia boleh membawa pulang jasad dan mengadakan pengebumian negara.
Namun, keputusan itu mencetuskan reaksi penuh emosi daripada keluarga Lungu yang kemudiannya memfailkan rayuan.
Pada April lalu, kerajaan Zambia mendakwa jenazah telah dipindahkan secara rasmi kepada negara, namun beberapa jam kemudian mahkamah mengarahkan agar keadaan dikekalkan sementara menunggu keputusan lanjut.
Edgar Lungu, yang memimpin Zambia dari 2015 hingga 2021, meninggal dunia pada usia 68 tahun akibat penyakit yang tidak didedahkan.
Selepas kematiannya, timbul kekeliruan apabila pengumuman tempoh berkabung dibuat secara berasingan oleh kerajaan dan parti politiknya.
Pertikaian turut dipengaruhi hubungan tegang antara Lungu dan penggantinya, Presiden Hakainde Hichilema.
Keluarga Lungu sebelum ini menyatakan bahawa mendiang tidak mahu penggantinya menghadiri majlis pengebumian.
Mahkamah dalam keputusan terbaharu turut mengambil kira bahawa Lungu dipercayai tidak menjangka akan menerima penghormatan sewajarnya sekiranya pengebumian diadakan di Zambia.
Walaupun tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah, kerajaan Zambia mengesahkan ia tidak akan meneruskan tindakan undang-undang lanjut berhubung isu ini.