TAIPEI: Keluarga seorang pelajar Malaysia yang dibunuh oleh lelaki warga Taiwan pada 2022, bakal menerima pampasan NT$1.8 juta (AS$56,502), kata Pejabat Pendakwa Daerah Shilin kepada Agensi Berita Pusat (CNA) pada Jumaat.

Penuntut universiti yang dikenali sebagai Chai itu dikatakan telah bertemu dengan Chen Po-yen di Instagram dan telah dibunuh hanya seminggu selepas mereka mula keluar bersama tahun lalu.

Pampasan itu telah diminta oleh keluarga wanita itu dengan bantuan Association for Victims Support yang baru-baru ini menghubungi keluarga mangsa dan memberikan bantuan guaman.

Jumlah itu kemudian ditentukan oleh Pejabat Pendakwa Daerah Shilin mengikut Crime Victim Rights Protection Act semasa persidangan yang diadakan pada akhir Ogos.

Ketika kejadian Chai berumur 24 tahun dan sedang menuntut di sebuah universiti di Taipei.

Mayatnya ditemukan di apartmen sewanya di Daerah Shilin Taipei pada 13 Okt 2022.

Bedah siasat yang dijalankan pada 16 Okt mendapati mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas dan lehernya turut patah.

Kematian pelajar itu didedahkan pada 13 Oktober tahun lalu oleh polis New Taipei selepas Chen mendedahkan dia telah membunuh mangsa, semasa dikejarkan ke hospital selepas cuba membunuh diri.

-- BERNAMA