Keluarga pelarian di Semenanjung Gaza terancam risiko banjir dan musim sejuk

Rakyat Palestin yang hilang tempat tinggal berkumpul sambil berlindung di khemah yang dinaiki air selepas hujan, di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, 22 Sept 2024. - Gambar fail/REUTERS
RAMALLAH: Pusat operasi kerajaan bagi intervensi kecemasan di Gaza mengeluarkan rayuan segera kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta organisasi antarabangsa dan kemanusiaan agar mengambil tindakan segera menjelang ketibaan musim sejuk, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Ringkasan AI
- Pusat operasi kerajaan di Gaza rayu PBB dan organisasi antarabangsa segera ambil tindakan jelang musim sejuk untuk pelarian yang berisiko banjir dan kerosakan infrastruktur.
 - Situasi kemanusiaan Gaza di tahap bahaya terutama di kawasan rentan banjir dan limpahan air laut disebabkan serangan rejim Israel.
 - Hanya 203 lori bantuan masuk Gaza setiap hari berbanding keperluan minimum, sementara Kementerian Kerja Raya dan Perumahan sediakan 294 tapak perlindungan sementara dengan perkhidmatan air dan sanitasi.
 
Kenyataan itu turut menyorot kerosakan serius pada sistem saliran dan jalan raya, serta kekurangan kemudahan asas perlindungan dan pemanasan bagi ribuan keluarga pelarian.
Antara kawasan yang paling berisiko mengalami banjir dan keruntuhan ialah kawasan Al-Jazira di sepanjang Jalan Salah al-Din dari persimpangan Maghazi hingga Bureij, Sahn al-Barka serta lembangan Wadi al-Salqa di wilayah tengah.
Pelarian juga dilaporkan berkumpul di sepanjang Jalan Al-Rashid di pesisir pantai yang menjangkau 26 kilometer dari utara ke selatan Semenanjung Gaza, serta di kem pelarian di timur Deir al-Balah dan Jalan Al-Nafaq di Bandar Gaza.
Ketua pusat operasi kerajaan, Samah Hammad mengesahkan yang keadaan kemanusiaan di Semenanjung Gaza amat kritikal, dengan keluarga pelarian di kawasan pantai dan tanah rendah menghadapi risiko banjir pada bila-bila masa.
Beliau menegaskan keperluan mendesak untuk memindahkan mereka ke pusat perlindungan selamat dan menyediakan bantuan penting kepada mereka.
Hammad menjelaskan yang organisasi antarabangsa mempunyai bekalan perlindungan sedia digunakan, namun masih menunggu kebenaran untuk membawanya masuk ke Gaza, sementara pihak pendudukan terus menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan serta gagal mematuhi perjanjian gencatan senjata yang menetapkan kemasukan 600 lori bantuan setiap hari.
Menurutnya, antara 1 hingga 25 Okt, hanya 5,078 lori bantuan yang dibenarkan masuk ke Gaza, dengan purata 203 lori sehari, jauh lebih rendah daripada keperluan minimum kemanusiaan, terutamanya bagi bahan perlindungan dan khemah.
Beliau berkata sebagai sebahagian daripada Pelan Bantuan dan Pemulihan Awal, Kementerian Kerja Raya dan Perumahan mengenal pasti 294 tapak perlindungan sementara yang dilengkapi dengan perkhidmatan air dan sanitasi berhampiran kawasan kediaman asal.
Hammad turut menggesa organisasi kemanusiaan berkoordinasi dengan pusat operasi untuk menubuhkan pusat perlindungan di lokasi yang dikenal pasti.
Beliau juga menyeru komuniti antarabangsa supaya memberi tekanan bagi kemasukan bantuan kemanusiaan yang mencukupi dan tanpa had dengan serta-merta, termasuk bahan bantuan, khemah, peralatan perlindungan dan unit perumahan pasang siap, bagi memastikan keselamatan ratusan ribu orang yang kehilangan tempat tinggal yang hidup dalam keadaan amat genting.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


