LOS ANGELES: Keluarga Celeste Rivas Hernandez, 14, menggesa hukuman mati dikenakan terhadap penyanyi D4vd sekiranya beliau didapati bersalah membunuh remaja itu dalam perbicaraan yang dijadual berlangsung tahun depan.
D4vd, atau nama sebenarnya David Anthony Burke, berdepan pertuduhan membunuh Hernandez selepas mayat remaja itu yang dikerat ditemui di dalam but sebuah kereta Tesla yang didaftarkan di alamat kediamannya pada 8 September 2025. Burke bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Dalam satu kenyataan sempena ulang tahun kelahiran Hernandez yang ke-16, keluarganya menyatakan hukuman mati wajar dikenakan jika penyanyi itu disabitkan kesalahan.
Sementara itu, ibu bapa mangsa turut memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Los Angeles bagi menuntut ganti rugi, termasuk kos pengebumian dan perbelanjaan berkaitan.
Dalam dokumen mahkamah, Mercedes Martinez dan Jesus Rivas mendakwa Burke bertanggungjawab terhadap kematian anak mereka, pemenjaraan secara salah serta serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak.
Mereka turut mendakwa Burke dan Hernandez mula berkenalan pada November 2023 ketika mangsa berusia 13 tahun dan menjalin hubungan selama kira-kira 16 bulan.
Saman itu turut menamakan beberapa syarikat milik Burke, pengurusnya, ibunya serta seorang pengawal keselamatan yang tinggal bersamanya, dengan dakwaan mereka membantu atau memudahkan tindakan penyanyi tersebut.
Pada Julai lalu, hakim memutuskan terdapat bukti mencukupi untuk kes bunuh itu dibicarakan.
Walaupun hukuman mati kini berada di bawah moratorium sementara di California, pihak pendakwa sebelum ini memaklumkan mereka sedang menilai sama ada akan memohon hukuman berkenaan.
Burke sekali lagi mengaku tidak bersalah minggu lalu dan kini diwakili peguam bela awam selepas berpisah dengan peguam terdahulunya. Beliau dijadualkan kembali ke mahkamah pada 19 Oktober.