GENEVA: Kemarau serta kekurangan hujan yang ketara, yang kini melanda separuh daripada wilayah Kesatuan Eropah (EU) dan Britain, menjejaskan kelembapan tanah dan kesihatan hutan secara kritikal, lapor Xinhua.
Menurut kenyataan akhbar Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Eropah [UNECE] pada Jumaat, keadaan kemarau teruk dan suhu musim panas yang memecahkan rekod di seluruh negara anggota UNECE, khususnya di Eropah dan Amerika Utara, sedang meningkatkan tekanan terhadap ekosistem hutan.
"Gabungan krisis yang melibatkan kemarau berpanjangan, tekanan haba, risiko kebakaran hutan, serta gangguan sekunder seperti wabak kumbang kulit kayu yang agresif dan aktiviti penyakit fitopatogenik, sedang menyebabkan fenomena kemerosotan dan kematian hutan pada skala yang belum pernah berlaku sebelum ini di seluruh rantau tersebut," menurut suruhanjaya itu.
Di Eropah Barat dan Tengah, kekurangan hujan yang luar biasa, dengan beberapa wilayah mengalami tempoh kekurangan hujan tahunan paling lama dan konsisten dalam tempoh lebih enam dekas, telah menyebabkan kerosakan meluas kanopi hutan, menurut UNECE.
UNECE memberi amaran bahawa populasi pokok di kawasan bandar di seluruh rantau itu turut terjejas akibat fenomena pulau haba bandar yang ekstrem dan kekurangan air sekali gus mengancam daya tahan iklim perbandaran, kualiti udara dan kesejahteraan orang ramai.
-- BERNAMA-XINHUA