Skip to main content

Dunia

Kemboja, Indonesia perkukuh kerjasama perangi penipuan dalam talian

61751336054_scam.jpg
Menteri Kanan Kemboja Chhay Sinarith menegaskan komitmen teguh negaranya untuk membanteras isu penipuan dalam talian. - Gambar hiasan
Advertisement

PHNOM PENH: Kemboja dan Indonesia berikrar untuk memperkukuh kerjasama dalam memerangi penipuan dalam talian, dengan menyifatkan penipuan berasaskan teknologi sebagai isu global yang kompleks dan memerlukan kerjasama antarabangsa, menurut kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu oleh Suruhanjaya Memerangi Penipuan Dalam Talian Kemboja (CCOS).

Komitmen itu dibuat semasa pertemuan di Phnom Penh pada petang Selasa antara Menteri Kanan Kemboja Chhay Sinarith, yang juga Ketua Sekretariat CCOS dan Timbalan Menteri Luar Indonesia yang sedang dalam lawatan, Arif Havas Oegroseno, lapor Xinhua.

Sinarith menegaskan komitmen teguh Kemboja untuk membanteras penipuan dalam talian, sambil memaklumkan bahawa bagi berkongsi pengalaman dan membincangkan beberapa langkah lanjut untuk menanganinya, Kemboja akan menjadi tuan rumah Persidangan Antarabangsa Memerangi Penipuan Dalam Talian di Phnom Penh pada 23 hingga 24 Sept.

Sementara itu, Oegroseno memuji tindakan tegas Kemboja membanteras kegiatan berkenaan, sambil menyatakan bahawa penipuan dalam talian merupakan sebahagian daripada ekosistem penipuan global yang memerlukan tindakan kolektif untuk dilumpuhkan.

Beliau turut berkata Indonesia bersedia membantu Kemboja dengan memperkukuh keupayaan pegawai penguat kuasa undang-undang serta meningkatkan kerjasama rentas sempadan.

Kemboja melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negara bagi membanteras rangkaian penipuan siber dalam usaha menjamin keselamatan awam dan memulihkan imejnya di peringkat antarabangsa.

Menurut kenyataan kerajaan yang dikeluarkan Jumaat lepas, pihak berkuasa menutup 737 pusat penipuan dalam talian di seluruh negara, termasuk 72 kasino, dalam tempoh Jun 2025 hingga Jun 2026. Sehingga Jun tahun ini, seramai 21,102 warga asing daripada 38 negara dihantar pulang kerana dikaitkan dengan kegiatan haram berkenaan.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement