JAKARTA: Unit Percetakan Al-Quran Kementerian Hal Ehwal Agama mengedarkan 34,000 kitab suci Islam ke pelbagai wilayah di seluruh negara bagi meningkatkan celik al-Quran dalam kalangan umat Islam Indonesia sempena Ramadan, lapor agensi berita ANTARA.

Ketua Unit Percetakan Al-Quran kementerian itu, Jalaluddin dalam kenyataan di sini pada Selasa (12 Mac) menyatakan bahawa sumbangan itu adalah untuk penduduk bagi meningkatkan celik al-Quran.

"Ketersediaan al-Quran mempunyai kaitan dengan tahap celik al-Quran. Kawasan yang mempunyai bilangan naskhah al-Quran yang mencukupi cenderung mempunyai tahap buta huruf al-Quran yang lebih rendah," katanya.

Jamaluddin menjelaskan 34,000 kitab suci itu terdiri daripada 17,000 naskhah al-Quran dan 17,000 kitab Yasin.

Kitab Yasin itu adalah kompilasi surah al-Quran Yasin dan ayat-ayat al-Quran lain yang biasa dibaca oleh umat Islam di Indonesia pada majlis pengebumian.

Kitab suci itu diserahkan ke pejabat kementerian wilayah pada 11 Mac 2024 dan setiap bahagian menerima 500 naskah al-Quran dan 500 kitab Yasin, katanya.

"Pejabat kementerian wilayah akan mengedarkan kitab itu kepada penduduk yang memerlukan," kata Jamaluddin.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan penduduk yang menerima naskah al-Quran dan Yasin daripada pejabat kementerian wilayah agar memberi perhatian terhadap penyimpanan kitab suci itu agar memastikan ia sentiasa terpelihara.

Beliau juga berharap sebaik naskah al-Quran dan kitab Yasin itu diterima oleh pejabat wilayah, ia akan diedarkan kepada umat Islam yang memerlukan.

-- BERNAMA