DUNIA
Kempen #GameOverIsrael gesa larangan pasukan, pemain Israel muncul di Times Square

Papan iklan gergasi di Times Square, New York menyiarkan kempen #GameOverIsrael dengan menyeru badan bola sepak Eropah memboikot pasukan Israel. - Gambar Reuters
NEW YORK: Sekumpulan organisasi advokasi dan kumpulan penyokong bola sepak melancarkan kempen #GameOverIsrael dengan menyeru badan bola sepak Eropah memboikot pasukan Israel, menerusi paparan papan iklan gergasi di Times Square yang mula ditayangkan pada Selasa.
Kempen itu dilancarkan beberapa bulan menjelang Piala Dunia 2026, dengan New York menjadi tuan rumah kepada lapan perlawanan termasuk final.
Kanada dan Mexico turut berkongsi tanggungjawab sebagai tuan rumah bersama Amerika Syarikat.
Kempen berkenaan menggesa persekutuan bola sepak di Belgium, England, Perancis, Greece, Ireland, Itali, Norway, Scotland dan Sepanyol untuk memboikot skuad kebangsaan Israel serta melarang pemain negara itu beraksi dalam liga domestik, susulan serangan berterusan di Gaza.Setakat ini, FIFA, UEFA dan Persatuan Bola Sepak Israel belum memberi sebarang maklum balas, menurut Reuters.
Pengarah Eksekutif Jawatankuasa Anti-Diskriminasi Amerika-Arab (ADC), Abed Ayoub berkata, stadium di Amerika Syarikat tidak seharusnya menjadi platform untuk "mencuci dosa jenayah perang."
“Kami bersama rakan-rakan di Eropah menuntut badan bola sepak antarabangsa mengambil tindakan segera dan tegas untuk menghalang Israel daripada menyertai sebarang kejohanan.
"Dunia perlu memberitahu Israel bahawa permainan sudah berakhir, tiada ruang untuk penjenayah perang dalam sukan,” katanya.
Pada hari sama, Suruhanjaya Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan Israel melakukan genosid di Gaza.
Bagaimanapun, pegawai Israel menolak laporan itu dengan duta negara tersebut ke PBB menyifatkannya sebagai "memalukan" dan "palsu."
Papan iklan digital di persimpangan Broadway dan West 43rd Street itu turut memaparkan perkataan “genosid”, yang menurut ADC hanya diluluskan syarikat papan iklan selepas meneliti kandungan laporan PBB tersebut.
Ketika ini, Israel berada di tangga ketiga Kumpulan I kelayakan Piala Dunia UEFA, di belakang Norway dan Itali.
Hanya juara 12 kumpulan layak secara automatik ke Piala Dunia, manakala pasukan naib juara perlu melalui saingan playoff. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami