KUALA LUMPUR: Kenaikan harga baja ekoran gangguan rantaian bekalan global, khususnya di Selat Hormuz, kini muncul sebagai antara faktor utama tekanan inflasi, dengan impak limpahan terhadap pengeluaran pertanian serta keadaan ekonomi secara keseluruhan.
Ketua Ekonomi Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Máximo Torero Cullenrut berkata pasaran baja pada ketika ini mengalami peningkatan harga yang ketara, mencerminkan gangguan terhadap input penting seperti gas asli dan sulfur.
Advertisement
“Kami mendapati harga minyak Brent meningkat lebih 30 peratus, harga gas asli meningkat antara 20 hingga 40 peratus, dan harga urea meningkat antara 50 hingga 80 peratus, bergantung kepada negara.
“Ini berkait juga dengan kalendar tanaman. Jadi mana-mana negara di dunia yang memasuki musim penanaman akan membayar harga yang lebih tinggi untuk masa kini dan akan datang,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam temu bual pada program Bernama World yang mengupas tajuk “Global Supply Chain Disruption: Growing Risk Of A Food Crisis” (Gangguan Rantaian Bekalan Global: Risiko Krisis Makanan Yang Semakin Meningkat) di Bernama TV.
Beliau berkata gas asli merupakan komponen utama dalam pengeluaran baja nitrogen, manakala sulfur penting untuk baja berasaskan fosfat, sekali gus meningkatkan kesan gangguan pasaran tenaga terhadap kos input.
“20 peratus gas asli dibekalkan melalui Selat Hormuz, yang digunakan untuk pengeluaran baja nitrogen...manakala 50 peratus sulfur global, yang menghasilkan asid sulfurik yang digunakan untuk mendapatkan fosfat, iaitu input utama dalam sistem pertanian,” katanya.
Torero berkata kenaikan harga baja turut dialami seluruh dunia disebabkan sifat pasaran yang saling berkait serta fungsinya yang penting dalam pengeluaran makanan.
“Pasaran baja adalah pasaran antarabangsa. Jadi jika harga meningkat di pasaran dunia, mana-mana negara yang menggunakan baja...perlu membayar harga yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata kesan tertangguh dijangka menjadi lebih ketara pada separuh kedua tahun ini dan selepasnya, apabila penggunaan input yang berkurangan membawa kepada hasil yang lebih rendah dan bekalan lebih terhad.
“Semua ini...akan menyebabkan pengeluaran berkurangan, ketersediaan menurun...yang seterusnya menyebabkan harga komoditi meningkat,” katanya.
Bagi mengurangkan kesan ekonomi, Torero berkata langkah perlu diselaraskan, termasuk mengelakkan sekatan eksport terhadap baja.
Beliau berkata pemantauan pasaran dipertingkatkan, aliran maklumat lebih baik serta akses kepada pembiayaan bagi menyokong petani menghadapi kos input yang meningkat adalah penting selain terus mempelbagaikan campuran tenaga dan menggalakkan sistem infrastruktur yang lebih mampan.
-- BERNAMA