Skip to main content

Dunia

AS kenakan sekatan ke atas 27 syarikat penerbangan Iran

[TB]_Iran Air Airbus A330-200_ADOBE STOCK
Beberapa syarikat penerbangan terbesar Iran termasuk Mahan Air, Iran Air dan Meraj Air sebelum ini telah dikenakan sekatan AS.
Advertisement

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ke atas beberapa syarikat penerbangan utama Iran sebagai sebahagian daripada perang terhadap negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Jabatan Perbendaharaan AS pada Selasa mengumumkan langkah baharu yang menyasarkan syarikat penerbangan milik kerajaan dan swasta, dengan menambah 27 syarikat penerbangan Iran ke dalam senarai sekatannya.

Antaranya Kish Airlines, Iran Air Tour dan ATA Airlines.

Beberapa syarikat penerbangan terbesar Iran termasuk Mahan Air, Iran Air dan Meraj Air sebelum ini telah dikenakan sekatan AS.

Langkah terbaharu itu memperluas tindakan Washington terhadap industri penerbangan Iran dengan ketara, merangkumi bahagian yang jauh lebih besar dalam sektor pengangkutan udara negara itu.

Syarikat dan bank asing juga boleh berdepan tindakan sekiranya terus menjalankan urusan perniagaan dengan syarikat penerbangan yang dikenakan sekatan itu.

Langkah berkenaan juga dijangka memberi kesan kepada penumpang. 

Platform tempahan dan penyedia perkhidmatan pembayaran asing mungkin berhenti berurusan dengan syarikat penerbangan terjejas kerana bimbang dikenakan sekatan AS, sekali gus menyukarkan pembelian tiket.

Syarikat penerbangan antarabangsa sebahagian besarnya mengelak daripada melakukan penerbangan ke Iran sejak perang tercetus pada akhir Februari.

Penumpang yang mahu ke Tehran bergantung kepada syarikat penerbangan Iran untuk penerbangan sambungan menerusi Istanbul atau Dubai.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement