Skip to main content

Dunia

Kerajaan campuran New Zealand hilang majoriti, perlu sokongan parti kecil

Sekiranya Parti Nasional gagal mencapai persetujuan dengan Parti Opportunity, New Zealand mungkin terpaksa mengadakan pilihan raya baharu bagi menentukan kerajaan seterusnya. - Foto REUTERS
Sekiranya Parti Nasional gagal mencapai persetujuan dengan Parti Opportunity, New Zealand mungkin terpaksa mengadakan pilihan raya baharu bagi menentukan kerajaan seterusnya. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Gabungan pemerintah New Zealand kehilangan majoriti mudah di Parlimen selepas keputusan rasmi pilihan raya menunjukkan kekurangan satu kerusi untuk membentuk kerajaan sendiri.
  • Parti Nasional, ACT dan New Zealand First memperoleh 65 kerusi, memerlukan sokongan Parti Opportunity yang memenangi tujuh kerusi untuk membentuk kerajaan stabil.
  • Jika Parti Nasional gagal mencapai persetujuan dengan Parti Opportunity, New Zealand mungkin perlu mengadakan pilihan raya baharu.
Advertisement

WELLINGTON: Kerajaan campuran yang memerintah New Zealand kehilangan majoriti mudah di Parlimen selepas keputusan rasmi pilihan raya menunjukkan gabungan pemerintah kekurangan satu kerusi untuk membentuk kerajaan sendiri.

Keputusan yang diumumkan pada Jumaat menunjukkan Parti Nasional pimpinan Perdana Menteri Christopher Luxon memenangi 40 daripada 130 kerusi Parlimen, manakala rakan gabungannya ACT memperoleh 13 kerusi dan New Zealand First 12 kerusi.

Jumlah 65 kerusi itu menjadikan blok pemerintah kekurangan satu kerusi untuk mencapai majoriti 66 kerusi, sekali gus memerlukan sokongan Parti Opportunity yang memenangi tujuh kerusi.

Advertisement

Menurut laporan BBC, pemimpin Parti Opportunity, Qiulae Wong, berkata partinya akan berunding dengan Parti Nasional bagi membentuk kerajaan yang stabil, namun semua pilihan masih terbuka.

"Kita mempunyai tujuh parti di Parlimen dan semua pihak bertanggungjawab memastikan kerajaan yang stabil dapat dibentuk untuk New Zealand," katanya.

Advertisement

Pada masa sama, blok kiri yang diketuai Parti Buruh juga tidak mempunyai jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan, walaupun mendapat sokongan Parti Opportunity.

Parti Buruh memenangi 36 kerusi, diikuti Parti Hijau dengan 17 kerusi dan Te Pati Maori yang memperoleh lima kerusi.

Keputusan rasmi itu turut menunjukkan Parti Nasional kehilangan dua kerusi berbanding kiraan awal selepas undi khas dikira.

Undi khas biasanya diberikan oleh rakyat yang berada di luar negara atau di luar kawasan pengundian berdaftar mereka pada hari pilihan raya.

Sepanjang kempen, Parti Nasional berjanji mengurangkan cukai, menurunkan kos tenaga serta meningkatkan tumpuan terhadap pertahanan, manakala Parti Buruh menawarkan langkah mengurangkan kos penjagaan kesihatan, pengangkutan awam dan bahan api.

Menurut BBC, pilihan raya kali ini banyak dipengaruhi ketidakpuasan hati pengundi terhadap kos sara hidup yang meningkat, kadar pengangguran yang tinggi dan kemerosotan keyakinan terhadap kepimpinan politik negara itu.

Sekiranya Parti Nasional gagal mencapai persetujuan dengan Parti Opportunity, New Zealand mungkin terpaksa mengadakan pilihan raya baharu bagi menentukan kerajaan seterusnya. 

 

 

Must Watch Video

Advertisement