Skip to main content

Malaysia

SPRM tegas tolak dakwaan amalan siasatan secara dua darjat

SPRM menghormati hak semua pihak untuk menyuarakan pandangan, kritikan dan teguran, namun sebarang dakwaan atau kenyataan hendaklah berlandaskan fakta sahih dan disampaikan secara bertanggungjawab.
SPRM menghormati hak semua pihak untuk menyuarakan pandangan, kritikan dan teguran, namun sebarang dakwaan atau kenyataan hendaklah berlandaskan fakta sahih dan disampaikan secara bertanggungjawab.

Ringkasan AI

  • SPRM menolak dakwaan mengamalkan siasatan dua darjat dalam kes melibatkan kementerian, menegaskan siasatan dijalankan secara profesional dan berintegriti.
  • SPRM memaklumkan siasatan isu perbelanjaan Projek Jalan Luar Bandar bermula 7 Oktober dan 20 saksi telah dirakam percakapan setakat ini.
  • SPRM menegaskan setiap siasatan berdasarkan fakta, bukti dan undang-undang tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu terlibat.
Advertisement

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini tegas menolak dakwaan kononnya mengamalkan siasatan secara dua darjat (double standard) dalam mana-mana  kes termasuk melibatkan sebuah kementerian.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan dakwaan tersebut adalah sama sekali tidak berasas dan tidak mencerminkan prinsip profesionalisme, integriti serta tatacara kerja yang menjadi pegangan suruhanjaya dalam melaksanakan setiap siasatan.

Untuk makluman, SPRM telah memulakan siasatan berhubung isu perbelanjaan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) yang melibatkan sebuah kementerian pada 7 Okt lepas.

Advertisement

“Sehingga kini, sebanyak 20 saksi daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan. 

“Siasatan masih diteruskan dan SPRM sedang meneliti segala maklumat serta keterangan yang diperoleh bagi memastikan setiap aspek berkaitan perkara ini disiasat secara menyeluruh,” menurut kenyataan itu.

Advertisement

SPRM menghormati hak semua pihak untuk menyuarakan pandangan, kritikan dan teguran, namun sebarang dakwaan atau kenyataan hendaklah berlandaskan fakta sahih dan disampaikan secara bertanggungjawab bukannya berdasarkan persepsi atau andaian semata-mata.

“SPRM ingin menegaskan bahawa setiap siasatan dilaksanakan berdasarkan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang, tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang mana-mana individu.

“SPRM kekal komited untuk menjalankan tanggungjawabnya secara profesional, bebas, adil dan telus demi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang sentiasa dipelihara,” menurut kenyataan itu.

Semalam, media melaporkan Penasihat DAP Lim Guan Eng mendakwa SPRM mengamalkan sikap “dua darjat” dalam menyiasat kontroversi pelanjutan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) serta isu perbelanjaan berlebihan RM2.1 bilion Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement