Ringkasan AI
- KPWKM sedang melaksanakan dua kajian berkaitan perkahwinan bawah umur di Malaysia yang dijangka selesai awal 2027.
- Kajian melibatkan kerjasama UNICEF Malaysia dan Institut Sosial Malaysia untuk menilai keberkesanan pelan strategi serta mengenal pasti faktor risiko dan pelindung.
- Hasil kajian akan digunakan untuk menentukan tindakan susulan, memperkukuh pencegahan dan memenuhi keperluan pendidikan serta perlindungan kanak-kanak perempuan.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang melaksanakan dua kajian berkaitan perkahwinan bawah umur di Malaysia yang dijangka selesai awal 2027.
Kementerian itu memaklumkan kajian pertama dilaksanakan dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia bagi menilai keberkesanan pelaksanaan Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur 2020-2025.
Kajian kedua pula dijalankan melalui Institut Sosial Malaysia (ISM) bertajuk “Perkahwinan Bawah Umur di Malaysia: Faktor Risiko, Faktor Pelindung dan Strategi Pencegahan”.
“Kajian berkenaan direka bentuk untuk menilai pelaksanaan strategi oleh agensi yang terlibat, mengenal pasti faktor risiko dan faktor pelindung, serta meneliti jurang pelaksanaan dan langkah pencegahan yang perlu diperkukuh.
“Hasilnya kelak akan digunakan untuk menentukan tindakan susulan yang lebih berfokus dan berasaskan bukti,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
KPWKM menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang ingin tahu sama ada kerajaan bersedia menggubal undang-undang bagi mengharamkan semua perkahwinan membabitkan kanak-kanak perempuan berusia bawah 18 tahun tanpa pengecualian.
Menurut KPWKM, setelah kedua-dua kajian dimuktamadkan, kementerian akan menggunakan dapatan itu untuk mengenal pasti jurang pelaksanaan, menetapkan keutamaan tindakan susulan bersama agensi berkaitan dan meneliti keperluan sumber secara lebih khusus.
“Dengan cara ini, usaha pencegahan perkahwinan kanak-kanak dapat disokong oleh tindakan yang memenuhi keperluan pendidikan, perlindungan, kesejahteraan dan penyertaan kanak-kanak perempuan, selaras dengan tema Hari Kanak-Kanak Perempuan Antarabangsa 2026, End child marriage and invest in girls’ rights!” menurut KPWKM.
Sementara kedua-dua kajian berkenaan dijalankan, KPWKM memaklumkan usaha menangani perkahwinan kanak-kanak tetap diteruskan menerusi Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan 2026-2030.
Dari segi hak kanak-kanak perempuan pula, tumpuan kerajaan merangkumi akses dan pengekalan mereka dalam pendidikan, maklumat serta perkhidmatan kesihatan yang bersesuaian, perlindungan daripada keganasan dan eksploitasi serta sokongan kepada keluarga yang menghadapi kesukaran sosioekonomi.
“Bidang-bidang ini penting untuk mengurangkan faktor yang boleh meningkatkan risiko perkahwinan kanak-kanak,” menurut kementerian itu.
KPWKM turut memaklumkan pandangan dan pengalaman kanak-kanak perempuan juga akan diambil kira dalam merancang serta menambah baik tindakan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.
-- BERNAMA