DUNIA
Kerajaan Thailand arah semakan segera ke atas jumlah mangsa pergolakan sempadan

Phumtham Wechayachai telah mengarahkan gabenor wilayah di kawasan sempadan supaya mengemukakan laporan situasi terperinci. - AP
BANGKOK: Kerajaan Thailand mengeluarkan arahan segera kepada semua agensi berkaitan untuk menyelaras jumlah orang awam dan anggota kerajaan yang terkesan akibat pertempuran di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja.
Jurucakap kerajaan Jirayu Huangsap berkata Pemangku Perdana Menteri Phumtham Wechayachai telah mengarahkan gabenor wilayah di kawasan sempadan supaya mengemukakan laporan situasi terperinci bagi memudahkan penyaluran bantuan kewangan dan pampasan kepada individu yang terjejas.
Menurut Jirayu, bantuan kewangan awal akan disalurkan menerusi Tabung Pejabat Perdana Menteri, melibatkan anggota tentera serta orang awam. Bentuk pampasan tambahan akan diteliti oleh Kementerian Dalam Negeri dan Pejabat Perdana Menteri untuk pertimbangan lanjut.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi laman web rasmi Kerajaan Thailand pada Jumaat, beliau menjelaskan bahawa golongan yang layak menerima bantuan termasuk mereka yang cedera, terkorban, dan individu yang mengalami kerosakan harta benda.Beliau berkata Phumtham turut mengarahkan semua kementerian yang terlibat dalam pengurusan situasi di sempadan supaya menggerakkan sepenuhnya sumber masing-masing bagi menyalurkan bantuan segera kepada pihak terkesan.
Langkah-langkah itu termasuk penutupan sementara sekolah di kawasan berisiko tinggi, manakala Kementerian Kesihatan Awam telah memulakan usaha menukar hospital tempatan kepada hospital medan sementara serta memindahkan pesakit dan mangsa yang cedera ke kemudahan kesihatan yang lebih selamat.
Sementara itu, Kementerian Ekonomi dan Masyarakat Digital telah ditugaskan untuk memantau serta menangani penularan maklumat palsu atau mengelirukan berkaitan situasi semasa.
Arahan itu dikeluarkan susulan pertempuran antara pasukan Thailand dan Kemboja awal Khamis di kawasan sempadan yang dipertikaikan, dengan kedua-dua pihak saling menuduh mencetuskan keganasan terbaharu itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami