Skip to main content

Dunia

Kerajaan UK tolak cadangan suis pemati AI - Laporan

AI APP
- Gambar hiasan
Advertisement

LONDON: Kerajaan Britain menolak cadangan mewujudkan undang-undang suis pemati untuk melumpuhkan model kecerdasan buatan (AI) semasa kecemasan, susulan kebimbangan terhadap risiko AI tidak terkawal atau AI penyangak (rogue AI), lapor Anadolu Ajansi, memetik laporan media pada Jumaat.

Pejabat Kabinet, yang mengetuai kerja kerajaan mengenai keselamatan AI, berkata United Kingdom (UK) "tidak boleh mematikan AI begitu sahaja," lapor BBC.

"Menyekat akses kepada model (AI) di UK tidak akan menghalang ia dibangunkan atau disalahgunakan di tempat lain," kata seorang jurucakap kepada penyiar Britain.

Bekas penyelidik OpenAI Daniel Kokotajlo berkata mematikan akses kepada model AI dalam kecemasan “tidak berkesan untuk melindungi anda”.

Bercakap dalam perbahasan di Dewan Pertuanan (parlimen) pada 1 Sept, Lord Clement-Jones mencadangkan idea itu bersama ahli dewan yang lain.

"Jika model sempadan autonomi berkebolehan tinggi, sama ada dihoskan di pusat data UK atau disepadukan merentasi infrastruktur kritikal kita, mula mempamerkan tingkah laku penyangak, kegagalan algoritma kompaun atau keruntuhan penjajaran aktif, perkhidmatan keselamatan dan pengawal selia kita tidak mempunyai mekanisme berkanun khusus untuk memaksa penutupan fizikal atau digital," katanya memberi amaran.

Cadangan itu dikemukakan oleh ahli parlimen Parti Buruh Alex Sobel di Dewan Rakyat dan disokong oleh kumpulan penggubal undang-undang merentas parti.

Idea berkenaan timbul berikutan laporan model AI daripada OpenAI, Anthropic dan Meta keluar daripada persekitaran ujian dan melakukan penggodaman tidak terkawal, menurut laporan itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement