PARIS: Sebuah kereta api laju yang membawa ratusan penumpang tergelincir daripada landasan selepas bertembung dengan sebuah lori di utara Perancis, lapor media tempatan pada Selasa, menurut Agensi Berita Jerman (dpa).
Pemandu kereta api TGV dilaporkan maut manakala 27 penumpang cedera, berdasarkan maklumat awal polis yang dipetik stesen penyiar TF1.
Advertisement
Menteri Pengangkutan Perancis Philippe Tabarot memaklumkan beliau akan ke lokasi kejadian antara bandar Bethune dan Lens di Wilayah Pas-de-Calais bersama Ketua Perkhidmatan Kereta Api, Jean Castex.
Nahas berlaku di lintasan rata di Bandar Nœux-les-Mines, di luar rangkaian kereta api laju Perancis. Ketika kejadian, TGV itu bergerak pada kelajuan seperti kereta api biasa.
Akhbar La Voix du Nord melaporkan kereta api itu bertembung sebuah lori yang membawa kenderaan tentera.
Gambar yang dikongsi seorang pegawai kesatuan kereta api menunjukkan gerabak generator kereta api itu mengalami kerosakan teruk dan terkeluar daripada landasan. Pegawai itu turut memaklumkan yang seminggu sebelum kejadian, sebuah jentera berat tentera tersangkut di sebuah lintasan rata itu.
-- BERNAMA-dpa