VALAIS: Sebuah kereta api penumpang membawa kira-kira 80 orang tergelincir berhampiran Goppenstein di kanton Valais awal pagi Isnin, selepas landasan kereta api itu dilanda runtuhan salji.
Jurucakap pengendali rel BLS berkata pemindahan penumpang dilakukan secara berperingkat selepas insiden menyebabkan salah satu gerabak terkeluar dari landasan dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi waktu tempatan.
Advertisement
"Operasi menyelamat sedang giat dijalankan dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.
"Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan terdapat kecederaan dalam kalangan penumpang, namun jumlah sebenar mangsa masih belum dapat dipastikan," menurut kenyataan polis kanton Valais kepada media tempatan.
Kereta api berkenaan, yang dikenal pasti sebagai perkhidmatan wilayah RE1, dilaporkan berlepas dari Brig pada jam 6.12 pagi sebelum terlibat dalam nahas tersebut.
Susulan kejadian, Syarikat Kereta Api Persekutuan Switzerland (SBB) mengesahkan laluan antara Goppenstein dan Brig digantung serta-merta, dengan gangguan dijangka berlanjutan sehingga jam 4 petang Isnin.
Kejadian berlaku di kawasan yang sama di mana satu lagi runtuhan salji dilaporkan beberapa hari lalu sehingga menutup akses ke Lembah Lötschental.
Fokus utama pasukan kecemasan kini adalah untuk memastikan keselamatan kesemua penumpang di lokasi serta melakukan penilaian kerosakan struktur pada laluan rel yang terjejas.