Skip to main content

Dunia

Kereta elektrik pertama Ferrari dijual pada harga rekod AS$40 juta dalam lelongan amal

RM Sotheby's
Ferrari Luce “Tailor Made” 2026 yang ditempah khas itu dijual oleh RM Sotheby’s semasa Monterey Car Week di California. - RM Sotheby's
Advertisement

ANKARA: Sebuah versi unik kereta elektrik sepenuhnya pertama Ferrari dijual pada harga AS$40 juta dalam lelongan amal, sekali gus mencatat rekod bagi kereta baharu yang dijual menerusi lelongan, lapor Anadolu Ajansi.

Ferrari Luce “Tailor Made” 2026 yang ditempah khas itu dijual oleh RM Sotheby’s semasa Monterey Car Week di California.

Dikenali sebagai “Chassis 0”, kenderaan itu merupakan casis pengeluaran pertama bagi program Ferrari Luce dan dikonfigurasi khas menerusi bahagian penyesuaian Tailor Made milik pengeluar Itali itu.

RM Sotheby’s memaklumkan jualan bernilai AS$40 juta itu menjadikan Luce kereta baharu paling mahal pernah dijual menerusi lelongan.

Ia mengatasi rekod sebelum ini sebanyak AS$26 juta yang dicatatkan Ferrari Daytona SP3 Tailor Made edisi tunggal, yang dijual pada lelongan sama pada 2025.

Ferrari akan menyumbangkan semua hasil jualan kepada inisiatif pendidikan menerusi Ferrari Foundation.

Pihak pelelong turut mengetepikan premium pembeli bagi jualan berkenaan.

Identiti pembeli tidak didedahkan.

Kereta itu menampilkan kemasan luaran mutiara separa kilat yang dibangunkan khas dan menghasilkan pantulan warna daripada hijau kepada ungu bergantung pada cahaya, selain kemasan kulit metalik, rim tempahan khas dan angkup brek yang direka khas.

Selepas lelongan, kenderaan itu akan dikembalikan ke ibu pejabat Ferrari di Maranello, Itali sebelum diserahkan kepada pemilik baharunya pada suku pertama 2027.

Luce yang diperkenalkan pada Mei merupakan model elektrik sepenuhnya pertama Ferrari dan menandakan perubahan besar daripada kereta sport enjin pembakaran tradisional syarikat itu.

Kenderaan empat pintu dengan lima tempat duduk itu dikuasakan empat motor elektrik yang menghasilkan gabungan 1,050 kuasa kuda dan mempunyai jarak perjalanan lebih 530 kilometer, menurut Ferrari.

Ia mampu memecut dari sifar hingga 100 kilometer sejam dalam tempoh 2.5 saat dan mencatat kelajuan maksimum melebihi 310 kilometer sejam.

Reka bentuknya dibangunkan dengan kerjasama LoveFrom, studio kreatif yang diasaskan bekas ketua reka bentuk Apple Jony Ive dan pereka Marc Newson.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement