DUNIA
Kereta 'terbang' ke bumbung bangsal di Jerman, dua cedera parah

Kereta yang tersangkut di atas bumbung bangsal terpaksa dikeluarkan menggunakan kren khas, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. - Foto AP
BOHMTE: Satu kemalangan luar biasa berlaku di bandar kecil Bohmte, Jerman, apabila sebuah kereta melayang ke udara dan terhempas ke atas bumbung bangsal setinggi tiga meter, menyebabkan dua individu cedera parah termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.
Menurut pihak polis, insiden berlaku apabila kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun terlebih dahulu melanggar sebuah kenderaan yang diparkir, sebelum merempuh pagar dan memasuki kawasan taman rumah.
Di situ, ia melanggar kanak-kanak yang sedang bermain di atas trampolin, sebelum meluncur di atas permukaan tanah yang tidak rata dan tercampak ke atas bumbung bangsal bersebelahan.
Isteri pemandu, seorang wanita berusia 43 tahun, turut mengalami kecederaan serius.Dua anak lelaki pasangan itu berusia 11 dan 12 tahun serta seorang penumpang berusia 13 tahun berada dalam kereta tersebut, namun hanya mengalami kecederaan ringan.
Pasukan penyelamat termasuk puluhan anggota bomba, dua helikopter kecemasan dan lebih 10 ambulans dikerahkan ke lokasi.
Kereta yang tersangkut di atas bumbung bangsal terpaksa dikeluarkan menggunakan kren khas, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Gambar dari tempat kejadian menunjukkan kerosakan teruk pada taman permainan dan bumbung bangsal, serta usaha dramatik pasukan penyelamat memotong struktur bangunan untuk mengeluarkan mangsa dan kenderaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami