ISTANBUL: Australia mengesahkan kes baharu selesema burung di selatan negara itu, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang dikesan kepada tiga, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik media tempatan pada Rabu.
Kes terbaharu selesema burung H5 yang sangat patogenik disahkan dalam burung migrasi liar, mendorong pihak berkuasa untuk mengekalkan pengawasan lebih tinggi ketika virus itu merebak di sepanjang pantai selatan negara itu, lapor ABC News.
Perdana Menteri Australia Selatan Peter Malinauskas berkata kes terbaharu itu dikesan dalam petrel gergasi yang ditemui di Pantai Knights di Semenanjung Fleurieu.
Burung itu adalah salah satu daripada dua burung laut sakit yang dijaga oleh kumpulan penyelamat hidupan liar pada 14 Jun dan kemudian diuji untuk virus itu.
Dua lagi burung sakit yang ditemui di Fowlers Bay juga diuji negatif.
Pengesanan terbaharu adalah selepas dua kes yang disahkan berhampiran Esperance di Australia Barat, termasuk burung laut migrasi skua perang dan seekor lagi burung yang ditemui di pantai terpencil yang diuji positif untuk strain yang sama.
-- BERNAMA-ANADOLU