Kesesakan lalu lintas di Paris cecah 1,000 km susulan gangguan salji

Cuaca sejuk melampau mengakibatkan gangguan pengangkutan di seluruh wilayah Paris pada Isnin, sekali gus mencetuskan kesesakan lalu lintas. - Foto Reuters
PARIS: Cuaca sejuk melampau mengakibatkan gangguan pengangkutan di seluruh wilayah Paris pada Isnin, sekali gus mencetuskan kesesakan lalu lintas melebihi 1,000 kilometer pada waktu puncak, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik perkhidmatan trafik Sytadin.
Jumlah panjang kesesakan itu melepasi paras 1,000 kilometer pada lewat petang, iaitu kira-kira empat kali ganda berbanding purata biasa bagi tempoh waktu itu. Keadaan trafik dilaporkan mula bertambah baik secara berperingkat menjelang waktu malam.
Pemandu di dalam dan sekitar Paris, yang biasanya mengalami musim sejuk sederhana dan kebanyakan kenderaan tidak dilengkapi dengan tayar musim sejuk, tertakluk kepada had laju yang lebih ketat. Di bawah arahan wilayah polis Paris, pemandu dikehendaki mengehadkan kelajuan kepada 80 kilometer sejam.
Salji dan keadaan berais turut mengganggu lalu lintas di barat laut Perancis, termasuk Normandy dan Brittany.
Pengangkutan awam di ibu negara itu turut terjejas. Pengendali pengangkutan Paris, RATP, memaklumkan bahawa perkhidmatan bas digantung sementara, manakala perkhidmatan kereta api wilayah turut mengalami gangguan.
Menteri Pengangkutan Perancis Philippe Tabarot berkata cuaca buruk itu memaksa pihak berkuasa mengurangkan jadual penerbangan di Lapangan Terbang Charles de Gaulle dan Orly sebanyak 15 peratus sehingga waktu petang. Beliau menambah bahawa landasan perlu dibersihkan dan pesawat perlu melalui proses nyahais.
Di sebalik gangguan itu, salji yang turun turut menarik perhatian orang ramai di Montmartre, di mana pejalan kaki berpeluang menyaksikan seorang pemain ski menuruni bukit berhampiran Basilika Sacre-Coeur dengan menggunakan cerun yang dilitupi salji untuk aktiviti sepontan itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


