BANGKOK: Thailand menyambut ketibaan kira-kira 17.36 juta pelancong asing antara 1 Jan hingga 18 Julai, penurunan 3.05 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, menurut Kementerian Pelancongan dan Sukan.
Menterinya, Surasak Phancharoenworakul berkata, China kekal sebagai sumber pasaran terbesar Thailand dengan kira-kira 2.86 juta ketibaan, diikuti Malaysia (2.25 juta), India (1.31 juta), Rusia (1.06 juta) dan Korea Selatan (631,777).
"Antara 1 Jan dan 18 Julai tahun ini, kira-kira 838.73 bilion baht (100 baht = US$2.99) dijana dalam perbelanjaan pelancong asing," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Thailand menjana 2.703 trilion baht hasil pelancongan pada 2025.
Pada April, Thailand menyemak semula sasaran ketibaan pelancong asing 2026 kepada kira-kira 32.14 juta, turun daripada unjuran awal kira-kira 36.7 juta, ekoran kos perjalanan yang lebih tinggi dan ketidakpastian ekonomi menjejaskan permintaan global.
Mengenai minggu 12-18 Julai, Surasak berkata, sektor pelancongan Thailand terus menunjukkan momentum positif, terutamanya bagi pasaran jarak dekat, manakala pasaran jarak jauh kekal stabil berbanding minggu sebelumnya.
Menurut kementerian, Thailand merekodkan 585,189 ketibaan pelancong asing sepanjang minggu berkenaan, peningkatan 22,735 pelawat, atau 4.04 peratus berbanding minggu sebelumnya, purata 83,598 ketibaan sehari.
Pertumbuhan itu disumbangkan oleh cuti sekolah musim panas di China dan Taiwan, di samping peningkatan kapasiti penerbangan antarabangsa.
Ini termasuk perluasan laluan Shenzhen-Phuket daripada tiga kepada empat penerbangan mingguan, pelancaran perkhidmatan flydubai Dubai-Bangkok (Don Mueang), dan laluan Thai Airways Amsterdam-Suvarnabhumi.
Surasak berkata, pasaran Taiwan kembali kukuh selepas kesan Taufan Bavi mereda, dengan ketibaan dari Taiwan melonjak 50.74 peratus berbanding minggu sebelumnya kepada 25,201, menjadikannya sumber pasaran keempat terbesar Thailand untuk minggu berkenaan, naik daripada tempat ketujuh sebelumnya.
Beliau berkata, ketibaan pelancong asing dijangka terus meningkat pada minggu akan datang, disokong oleh musim cuti sekolah musim panas yang berterusan dan perluasan perkhidmatan penerbangan antarabangsa.
-- BERNAMA