DUNIA
Ketua Nuklear PPB beri amaran serangan Israel ke atas loji Bushehr Iran boleh cetus bencana serantau

Grossi turut memberi amaran bahawa serangan ke atas talian bekalan elektrik ke loji itu boleh menyebabkan teras reaktor cair. - Foto fail/REUTERS
NEW YORK: Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, memberi amaran bahawa serangan Israel ke atas loji tenaga nuklear Bushehr di Iran boleh mencetuskan bencana radiasi berskala besar yang melangkaui sempadan negara itu.
Ringkasan AI
- Ketua IAEA, Rafael Grossi, memberi amaran keras terhadap risiko serangan ke atas loji nuklear Bushehr di Iran, yang boleh mencetuskan bencana radiasi merentas sempadan dan memerlukan evakuasi besar-besaran.
- Konflik antara Israel dan Iran terus memuncak, dengan tuduhan saling melancarkan serangan serta dakwaan Israel bahawa Iran hampir membina senjata nuklear, yang dinafikan oleh Tehran.
- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyeru agar konflik dikawal dan diselesaikan secara diplomatik, dengan Grossi menawarkan IAEA sebagai pemantau bebas untuk memastikan keselamatan dan ketelusan nuklear.
Beliau turut memberi amaran bahawa serangan ke atas talian bekalan elektrik ke loji itu boleh menyebabkan teras reaktor cair, memerlukan pemindahan besar-besaran dan langkah perlindungan seperti pengambilan iodin serta pemantauan radiasi di kawasan sejauh beberapa ratus kilometer.
Ketegangan antara Israel dan Iran kini memasuki minggu kelapan, dengan kedua-dua negara saling melancarkan serangan.
Israel mendakwa Iran sedang menghampiri keupayaan membina senjata nuklear, dakwaan yang dinafikan oleh Tehran yang menegaskan program nuklearnya adalah untuk tujuan aman.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, turut memberi amaran bahawa konflik ini boleh “menyalakan api yang tiada siapa mampu kawal” dan menggesa semua pihak agar “memberi peluang kepada keamanan”.
Dalam sesi yang sama, Duta Iran ke PBB, Amir-Saeid Iravani, menuduh Israel melanggar undang-undang antarabangsa dan menunjukkan gambar kanak-kanak Iran yang terbunuh dalam serangan.
Sementara itu, wakil Israel, Danny Danon, mempertahankan tindakan negaranya sebagai langkah mempertahankan diri.
Grossi menutup kenyataannya dengan menawarkan diri untuk menjadi perantara diplomatik dan menegaskan bahawa IAEA mampu memastikan Iran tidak membangunkan senjata nuklear melalui sistem pemeriksaan yang ketat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami