WASHINGTON: Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada Rabu memberi amaran kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bahawa konflik di Semenanjung Gaza boleh memburukkan ancaman kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Menggunakan Artikel 99 Piagam PBB buat kali pertama sejak beliau menjadi ketua organisasi itu pada 2017, Guterres dalam surat kepada Majlis Keselamatan PBB berkata: "Lebih lapan minggu pertempuran di Gaza dan Israel telah mewujudkan penderitaan manusia yang mengerikan, kemusnahan fizikal dan trauma kolektif di seluruh Israel dan wilayah Palestin yang diduduki".

Beliau berkata situasi semasa menyebabkan operasi kemanusiaan tidak dapat dilaksanakan.

"Kami berdepan risiko keruntuhan sistem kemanusiaan yang teruk. Keadaan ini merosot dengan pantas menjadi malapetaka dengan implikasi yang mungkin tidak dapat dipulihkan untuk rakyat Palestin secara keseluruhan serta keamanan dan keselamatan di rantau ini.

"Keputusan seperti ini harus dielakkan dengan apa cara sekalipun," kata Guterres, lapor Agensi Anadolu.

Guterres juga menekankan bahawa orang awam di Gaza menghadapi "bahaya serius" dan sistem penjagaan kesihatan di wilayah terkepung itu semakin lumpuh.

"Tiada tempat yang selamat di Gaza," tegas beliau.

Ketua PBB berkata masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab untuk menggunakan pengaruh mereka untuk mencegah peningkatan dan menamatkan krisis di Gaza.

"Saya menggesa Majlis Keselamatan untuk mendesak untuk mengelakkan malapetaka kemanusiaan.

"Saya mengulangi rayuan saya agar gencatan senjata kemanusiaan diisytiharkan. Ini adalah mendesak," kata Guterres.

Artikel 99 Piagam PBB membenarkan Setiausaha Agung untuk membawa kepada perhatian Majlis Keselamatan sebarang perkara yang pada pendapat beliau boleh mengancam kelestarian keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Israel meneruskan serangan ketenteraannya di Semenanjung Gaza pada Jumaat lepas susulan jeda kemanusiaan selama seminggu berakhir.

Sekurang-kurangnya 16,248 rakyat Palestin telah terbunuh manakala lebih 43,616 lagi cedera dalam serangan udara dan darat Israel ke atas wilayah itu sejak 7 Okt.

-- BERNAMA