DUNIA
Ketua PBB kecam cubaan bunuh calon Presiden Colombia

Guterres (kiri) menyampaikan sokongan beliau kepada Uribe Turbay dan rakyat Colombia serta mendoakan agar calon itu pulih sepenuhnya.
HAMILTON (Kanada): Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Isnin mengecam sekeras-kerasnya serangan ke atas calon Presiden Colombia, Miguel Uribe Turbay di ibu negara Bogota, baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan jurucakapnya, Farhan Haq, Guterres menyuarakan kebimbangan yang mendalam terhadap insiden itu dan menekankan keperluan agar pihak bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Setiausaha Agung mengecam sekeras-kerasnya percubaan membunuh Miguel Uribe Turbay, calon Presiden Colombia, di Bogota pada 7 Jun," kata Haq.
Guterres turut menyampaikan sokongan beliau kepada Uribe Turbay dan rakyat Colombia serta mendoakan agar calon itu pulih sepenuhnya.Menekankan kepentingan keadilan dan nilai demokrasi menjelang pilihan raya negara akan datang, kenyataan itu menyatakan bahawa serangan itu tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman.
"Tindakan keganasan politik yang menjijikkan ini mesti disiasat sepenuhnya dan pihak bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan," menurut kenyataan itu.
Guterres turut menekankan bahawa pilihan raya tahun depan menawarkan rakyat Colombia peluang penting untuk mengukuhkan demokrasi melalui proses yang aman dan telus.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami