Ringkasan AI
- Jay Clayton dilantik sebagai Pemangku Pengarah Siber Kebangsaan Amerika Syarikat sementara menunggu pengesahan Senat terhadap Kirsten Davies.
- Presiden Donald Trump memilih Kirsten Davies, Ketua Pegawai Maklumat Pentagon, untuk menggantikan Sean Cairncross sebagai Pengarah Siber Kebangsaan.
- Clayton akan menyelaraskan dasar keselamatan siber negara ketika berlaku peningkatan ancaman serangan siber dan penggunaan kecerdasan buatan.
ISTANBUL: Pengarah Perisikan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) Jay Clayton akan turut menggalas tugas sebagai Pemangku Pengarah Siber Kebangsaan sementara menunggu Kirsten Davies mendapat pengesahan Senat untuk menerajui pejabat berkenaan, menurut laporan media pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Presiden AS Donald Trump pada Khamis mengumumkan pemilihan Davies, yang juga Ketua Pegawai Maklumat Jabatan Pertahanan AS (Pentagon), bagi menggantikan Sean Cairncross sebagai Pengarah Siber Kebangsaan.
Seorang pegawai Rumah Putih memberitahu portal berita Axios bahawa sokongan kuat yang diterima Davies mendorong Trump memilih beliau untuk menerajui pejabat itu secara tetap, berbanding hanya memangku jawatan berkenaan.
Clayton, pegawai perisikan tertinggi AS kini akan menyelaraskan dasar keselamatan siber ketika gangguan sistem dan laporan serangan siber mendedahkan kelemahan infrastruktur digital negara itu, menurut Axios.
Davies pula akan membantu Clayton sebagai penasihat kanan di Pejabat Pengarah Siber Kebangsaan (ONCD) sementara menunggu pengesahan Senat.
"Saya teruja untuk bekerjasama dengan lebih erat bersama Kirsten, yang mempunyai pengalaman dan keupayaan diperlukan bagi membantu Amerika Syarikat mengurus infrastruktur digitalnya yang semakin kompleks dan berkuasa sebagai Pengarah Siber Kebangsaan yang baharu," kata Clayton dalam kenyataan kepada Axios.
"Saya berharap dapat bekerjasama dengan pasukan ONCD bagi memastikan proses peralihan Kirsten ke jawatan itu berjalan lancar sebaik sahaja pelantikannya disahkan oleh Senat," katanya.
Menurut Axios, dua jawatan penting dalam keselamatan negara itu akan berada di bawah tanggungjawab seorang pegawai buat sementara waktu ketika Trump menyusun semula pasukan keselamatan sibernya susulan peningkatan ancaman serangan yang menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Seorang pegawai Rumah Putih yang dipetik Axios berkata Clayton sebelum ini pernah bekerjasama dengan ONCD, Majlis Keselamatan Negara, Agensi Keselamatan Negara (NSA) dan agensi lain ketika mengetuai usaha pentadbiran Trump dalam bidang AI.
-- BERNAMA-ANADOLU