Skip to main content

Dunia

Ketua Perisikan Ecuador, isteri dan lima rakyat Amerika maut dalam nahas helikopter di Kenya

Sumber: REUTERS
Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Kenya, helikopter itu sedang dalam penerbangan pelancongan dari kawasan konservasi hidupan liar Loisaba menuju ke Ewaso Nyiro, sebuah sungai yang mengalir merentasi beberapa rizab negara di negara Afrika Timur itu. - Gambar Reuters
Advertisement

NAIROBI: Ketua Perisikan Ecuador, Michele Sensi-Contugi, dan isterinya, Stephany Hollihan antara tujuh individu yang maut dalam nahas helikopter di Kenya pada Rabu.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) turut mengesahkan lima rakyat negara itu terbunuh dalam insiden berkenaan.

Nahas berlaku pada kira-kira pukul 9.13 pagi waktu tempatan di daerah Samburu, utara Kenya.

Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Kenya (KCAA), helikopter itu sedang dalam penerbangan pelancongan dari kawasan konservasi hidupan liar Loisaba menuju ke Ewaso Nyiro, sebuah sungai yang mengalir merentasi beberapa rizab negara di negara Afrika Timur itu.

Pejabat Presiden Ecuador menerusi kenyataan di platform X menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

“Kerajaan Ecuador merakamkan ucapan takziah yang mendalam atas pemergian Michele Sensi-Contugi dan isterinya, Stephany Hollihan,” menurut kenyataan itu.

Bekas Presiden Ecuador, Guillermo Lasso turut memberikan penghormatan kepada pasangan berkenaan menerusi media sosial.

“Solidariti dan simpati saya bersama ahli keluarga, sahabat serta rakan sekerja mereka dalam saat penuh kedukaan ini.

“Semoga Tuhan mengurniakan ketabahan dan kekuatan kepada mereka yang ditinggalkan, serta mencucuri rahmat ke atas semua mangsa,” katanya.

Sensi-Contugi, 44, dilantik sebagai Ketua Pengarah Pusat Perisikan Strategik Ecuador pada 2024.

Setakat ini, identiti lima warga Amerika Syarikat yang terkorban masih belum didedahkan.

Jabatan Negara AS dalam kenyataannya berkata, pihaknya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan insan tersayang mangsa yang terlibat.

Gambar yang dikongsi dalam talian menunjukkan kepulan asap di lokasi nahas berhampiran Gunung Ololokwe.

Palang Merah Kenya memaklumkan kawasan kejadian masih sukar diakses, namun dron sedang digunakan bagi menilai keadaan di lokasi nahas.

KCAA berkata, helikopter yang terlibat ialah jenis Eurocopter EC130 B4 dan operasi penyelarasan sedang dijalankan.

Menurut pihak berkuasa itu, Kementerian Pengangkutan Kenya bersama Jabatan Siasatan Kemalangan Udara akan mengetuai siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Daerah Samburu merupakan antara destinasi pelancongan terkenal di Kenya yang menempatkan banyak kawasan konservasi hidupan liar persendirian serta dikenali kerana landskap semula jadinya yang menakjubkan.

Nahas helikopter bukan perkara luar biasa di Kenya.

Pada Februari lalu, enam individu termasuk seorang ahli Parlimen maut dalam nahas helikopter di daerah Nandi di kawasan Rift Valley.

Pada 2024, Ketua Angkatan Tentera Kenya, Jeneral Francis Omondi Ogolla, turut terkorban apabila helikopter tentera yang membawa 11 penumpang terhempas di barat negara itu, dengan hanya dua individu terselamat.

Pada Jun 2021, sekurang-kurangnya 10 anggota tentera maut apabila helikopter yang dinaiki terhempas ketika melakukan pendaratan berhampiran ibu negara, Nairobi. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement