GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis mengisytiharkan wabak hantavirus yang dikaitkan dengan kapal persiaran MV Hondius secara rasmi berakhir selepas individu terakhir yang dikenal pasti sebagai kontak rapat menamatkan tempoh kuarantin, disahkan negatif dan tiada kes baharu dilaporkan selama lebih lima minggu, lapor Xinhua.
"Hari ini, individu terakhir yang dikenal pasti sebagai kontak kepada seseorang yang terdedah kepada hantavirus di atas kapal persiaran MV Hondius menamatkan tempoh kuarantin, disahkan negatif dan pulang ke rumah.
"Tiada lagi kes baharu dilaporkan sejak 25 Mei. Oleh itu, kami amat gembira untuk mengumumkan bahawa WHO menganggap wabak hantavirus ini berakhir," kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam ucapan pembukaannya pada sidang media pada Khamis.
WHO dimaklumkan mengenai wabak itu pada 2 Mei oleh Pusat Tumpuan Nasional Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) Britain. Wabak itu melibatkan kluster kes penyakit pernafasan akut yang teruk di atas kapal persiaran berdaftar di Belanda itu.
Sebanyak 13 kes direkodkan, termasuk tiga kematian. Lebih 650 kontak dikenal pasti dan dipantau oleh pihak berkuasa kesihatan.
Menurut Ketua Pengarah WHO itu, usaha menangani wabak berkenaan disokong oleh beberapa negara selaras dengan Peraturan Kesihatan Antarabangsa, termasuk Argentina, Cabo Verde, Chile, Belanda, Afrika Selatan, Britain dan khususnya Sepanyol, yang menunjukkan "semangat solidariti yang luar biasa" dalam membantu proses penurunan penumpang dan anak kapal secara selamat serta penghantaran pulang mereka di Tenerife.
Walaupun wabak itu kini berakhir, WHO akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan rakan kongsi bagi meningkatkan pemahaman mengenai wabak berkenaan serta hantavirus secara umum.
WHO kini menyelaras satu kajian melibatkan 21 negara bagi memahami bagaimana penyakit itu berkembang, sekali gus menyokong pembangunan kaedah diagnostik, rawatan dan vaksin untuk menghadapi kemungkinan wabak pada masa hadapan.
-- BERNAMA-XINHUA