DUNIA
AS ketuai perkongsian risikan perangi jenayah di sempadan Laos, Thailand

Segi Tiga Emas yang bersempadan dengan Laos, Myanmar dan Thailand, pernah menjadi pusat pengeluaran dan pengedaran candu pada tahun 1970-an.
PHNOM PENH: Pegawai penguatkuasaan undang-undang dari Amerika Syarikat (AS), Thailand dan Laos sedang bekerjasama untuk berkongsi risikan bagi menangani peningkatan jenayah rentas sempadan di sepanjang sempadan Asia Tenggara, terutamanya di kawasan sekitar Segi Tiga Emas.
Ringkasan AI
- AS, Thailand dan Laos bekerjasama berkongsi risikan untuk memerangi jenayah rentas sempadan di sekitar Segi Tiga Emas, termasuk isu penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia dan jenayah siber.
- Mesyuarat pertukaran maklumat di Nong Khai, Thailand, pada 23-24 Sept menekankan pentingnya kerjasama serantau, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober.
- UNODC melaporkan peningkatan besar rampasan methamphetamine di Asia Timur dan Tenggara, menunjukkan sindiket dadah terus mengeksploitasi laluan maritim Malaysia, Indonesia dan Filipina.
Bertemakan "Thai-Lao Information Exchange Conference on Border Security", mesyuarat itu berlangsung di Nong Khai, Thailand dari 23 hingga 24 Sept.
Mesyuarat itu juga diadakan sebulan sebelum penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 oleh Malaysia bersama Rakan Dialog pada akhir Oktober apabila beberapa pemimpin serantau dan antarabangsa dijangka membincangkan isu keselamatan utama.
"Kerjasama rentas sempadan yang dipertingkatkan dalam kalangan negara anggota ASEAN untuk memerangi jenayah terancang rentas sempadan akan menjadi agenda utama pada Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan di Kuala Lumpur," menurut kenyataan itu.
Kelaziman pembuatan haram produk farmaseutikal, jenayah siber, penyeludupan narkotik, penghasilan dadah sintetik di makmal, pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram terus menjadi cabaran kepada pembuat dasar dan pegawai penguatkuasaan undang-undang.
"Topik yang dibincangkan termasuk pendekatan strategik untuk meningkatkan kerjasama penguatkuasaan undang-undang bagi memerangi aktiviti haram secara berkesan seperti pemerdagangan manusia, eksploitasi kanak-kanak, penyeludupan dadah, penyeludupan senjata dan aktiviti penipuan siber," menurut kenyataan itu.
UNODC dalam laporannya pada Mei mendedahkan bahawa ia merampas rekod 236 tan methamphetamine di Asia Timur dan Tenggara tahun lepas, peningkatan 24 peratus berbanding 2023.
Laporan itu juga menyatakan sindiket dadah mengeksploitasi laluan penyeludupan maritim yang menghubungkan Malaysia, Indonesia dan Filipina - menunjukkan sifat jenayah penyeludupan dadah rentas sempadan yang sentiasa berubah.
"Inisiatif ini menekankan komitmen bersama Amerika Syarikat, Laos dan Thailand untuk memupuk keselamatan serantau dan memajukan kerjasama dalam penguatkuasaan undang-undang," menurut kenyataan itu.
Segi Tiga Emas yang bersempadan dengan Laos, Myanmar dan Thailand, pernah menjadi pusat pengeluaran dan pengedaran candu pada tahun 1970-an.
Pengeluaran dadah telah dihapuskan dengan bantuan agensi keselamatan antarabangsa dan serantau, dan kawasan pergunungan itu kemudiannya dibangunkan sebagai tarikan pelancongan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami