Skip to main content

Dunia

KHOM Malaysia cekal bantu pelarian walau berdepan cuaca musim sejuk di Syria

KHOM MALAYSIA, SYRIA_Astro AWANI/Seth Akmal
Kanak-kanak pelarian Syria melihat kotak pek bungkusan makanan untuk keperluan selama sebulan yang disumbangkan oleh KHOM Malaysia. - Gambar Astro AWANI/Seth Akmal.

IDLIB, SYRIA: Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM) Malaysia menyahut seruan warga pelarian dalam negara di Syria untuk dengan meneruskan misi talian hayat pada musim sejuk, semalam.

Sukarelawan KHOM Malaysia dipimpin oleh Pengerusi Misi, Nik Marina Datuk Hussin beserta rakan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Sened menyerahkan 250 pek bungkusan makanan bernilai RM300 kepada warga pelarian yang tinggal di Kem Al Van Deir Al Hassan.

Advertisement

Pada hari yang sama, KHOM Malaysia turut mengagihkan 250 ekor ayam mentah kepada warga pelarian yang tinggal di kem Sham Al khayr.

Sumbangan tersebut bermakna bagi para pelarian yang kadangkala sukar untuk mendapatkan ayam sebagai juadah makanan, ujar Nik Marina.

Image
KHOM MALAYSIA, SYRIA_Astro AWANI/Seth Akmal
Seorang kanak-kanak sedang dirawat di klinik kem pelarian. Gambar Astro AWANI/Seth Akmal.

KHOM Malaysia turut melawat Klinik Nurul Huda untuk menyerahkan sumbangan bantuan perubatan dan susu bayi berdasarkan berdasarkan maklumat doktor di lapangan yang menyatakan beberapa ubat-ubatan telah berkurang dan tidak dapat disediakan hampir sebulan.

“Selain ubat, susu bayi turut disumbangkan kepada klinik untuk para ibu yang menghadapi sakit kronik, bapa tunggal selaku penjaga, anak-anak yatim dan bayi kembar,” katanya kepada Astro AWANI di sini.

Di Kem Al Maydan, KHOM Malaysia turut menyerahkan sumbangan sebanyak 140 selimut dan 100 set baju sejuk berupa topi, baju dan mafla untuk kanak-kanak, berserta birin iaitu bahan bakar yang digunakan pada musim sejuk untuk menghangatkan khemah mereka.

Image
KHOM MALAYSIA, SYRIA_Astro AWANI/Seth Akmal
Nik Marina menyarung baju sejuk kepada seorang kanak-kanak pelarian. Gambar Astro AWANI/Seth Akmal.

Menurut Nik Marina, birin merupakan hampas yang diekstrak daripada buah zaitun yang lazimnya digunakan ketika konflik untuk menggantikan pemanas eletrik dan arang.

Tinjuan semasa misi turut melihat seorang ibu tunggal menggunakan bahan bakar daripada sampah seperti plastik dan bekas makanan.

“Penggunaan bahan-bahan seperti ini boleh memberi kesan kepada kesihatan paru-paru para pelarian yang tinggal di dalam khemah yang sempit,” katanya.

Image
KHOM MALAYSIA, SYRIA_Astro AWANI/Seth Akmal
Imej menunjukkan seketul birin yang digunakan sebagai bahan pemanas pada musim sejuk. Gambar Astro AWANI/Seth Akmal.

KHOM Malaysia menamatkan separuh misinya dengan menyerahkan sumbangan lima ribu roti di kem Salam Abardaghi sebelum menyertai aktiviti memasak juadah berbuka puasa bersama para pelarian.

“Kami agihkan roti ini sebagai tanda cinta daripada rakyat Malaysia kepada warga pelarian kerana kita memahami bagaimana rakyat Syria menggemari roti,” katanya lagi.

Image
KHOM MALAYSIA, SYRIA_Astro AWANI/Seth Akmal
Para wanita pelarian Syria beratur untuk mendapatkan bantuan roti. Gambar Astro AWANI/Seth Akmal.

Keadaan cuaca yang mencecah 7 selsius beserta hujan tetap tidak menghalang para sukarelawan untuk berbakti kepada para pelarian di bulan suci Ramadan.

Untuk rekod, pada Disember 2024, Syria telah membentuk kerajaan baru menggantikan rejim di bawah pemerintahan Bashar Al-Assad setelah melalui konflik bersenjata lebih sedekad.

Laporan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) turut menyatakan sehingga 8 Mei 2025 terdapat 1,168,147 orang pelarian dalaman (IDP) di Syria telah kembali ke tempat asal mereka.

Tinjauan Astro AWANI turut menyaksikan beberapa buah khemah dibina dengan batu-bata dan kain kanvas telah dirobohkan oleh penghuni di kem-kem pelarian yang telah pulang ke wilayah asal mereka.

Namun masih ramai pelarian menjadi pengungsi di kem atas faktor kemiskinan dan tempat asal mereka telah musnah akibat perang, menyebabkan mereka golongan rentan yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan seharian.

Image
KHOM MALAYSIA, SYRIA_Astro AWANI/Seth Akmal
Sukarelawan KHOM Malaysia bergambar bersama kanak-kanak pelarian di Idlib. Gambar Astro AWANI/Seth Akmal.

 

 


 

Must Watch Video