Kira-kira 100 orang yang masih hilang berikutan bencana tanah runtuh di Sri Lanka muinggu lalu dipercayai maut, kata pihajk berkuasa pada Sabtu selepas usaha mencari gagal menemui sebarang mangsa di dalam timbunan lumpur.

Pusat Pengurusan Bencana (DMC) memberitahu, 67 mayat sudah ditemukan di Kegalle, yang terletak 100 kilometer di timur laut Colombo. Namun, 99 orang masih tersenarai dalam status ‘hilang’ dalam bencana yang melanda pada 17 Mei itu.

“Pihak tentera masih meneruskan pencarian, namun tiada harapan untuk menemui mangsa yang masih hidup. Lagi 99 orang yang hilang dipercayai terkorban,” ujar jurucakap DMC Pradeep Kodippili.

Hujan lebat telah mengakibatkan banjir di banyak kawasan di negara itu minggu lalu dan telah meragut sejumlah 37 nyawa, termasuk mereka yang maut dalam tuntuhan tanah.

Seorang pegawai tentera di Kegalle berkata operasi pencarian terjejas akibat hujan yang berterusan di rantau itu.

Pemerintah Sri Lanka berkata, banjir dan tanah runtuh yang disebabkan hujan lebat telah memaksa 600,000 orang meninggalkan kediaman masing-masing. Kebanyakan daripada mereka sudah kembali ke rumah selepas air surut.

Sri Lanka kini menerima bantuan kecemasan dari negara-negara lain, termasuk dari India yang telah menghantar bekalan keperluan bencana dengan menggunakan dua buah kapal tentera dan sebuah pesawat.